Takrif semula hubungan Asia Tenggara dan Eropah sebagai setara – Anwar

Takrif semula hubungan Asia Tenggara dan Eropah sebagai setara – Anwar

Paris: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa keperluan untuk mentakrifkan semula hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah, sebagai setara, mencorakkan masa depan bersama dan rakan kongsi dalam hubungan dan perdagangan, dalam dunia yang mendambakan keseimbangan.

Beliau berkata tidak dinafikan Perancis dan Eropah secara keseluruhannya telah mencapai kemajuan besar dalam bidang budaya, tenaga boleh baharu, inisiatif biodiversiti serta falsafah politik dan tadbir urus, Asia Tenggara juga mempunyai pencapaiannya yang tersendiri.

“Hari ini, kemajuan di Asia Tenggara dapat dilihat melalui trajektori pertumbuhan ASEAN itu sendiri yang tidak dapat dinafikan merupakan manifestasi kejayaan integrasi ekonomi ASEAN,” kata beliau dalam syarahan bertajuk: “Southeast Asia and Europe: Recalibrating The Terms of Engagement” di Sorbonne University Paris.

Anwar berkata rantau ini menggalakkan perdagangan dan pelaburan antara rantau dengan pesat, meningkatkan daya tahan ekonomi dan daya saing negara anggota.

Selain itu, beliau berkata terdapat banyak yang boleh dipuji dari segi tumpuan ASEAN terhadap diplomasi dan kerjasama serantau, yang menjadi lambang kepada pemusatan dan pendekatan multilateralisme yang progresif.

Beliau berkata selain daripada krisis di Myanmar, usaha ini telah menjana kemajuan besar dalam membantu menangani ketegangan antara negara, mengurus konflik dan menggalakkan membuat keputusan secara kolektif dalam krisis serantau.

Sebaliknya, Anwar berkata pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bukan sahaja menggugat keselamatan benua itu, malah andaian sedia ada- mengenai pencegahan, kebergantungan dan keupayaan keamanan.

“Peperangan yang dianggap mustahil oleh ramai menjadi perhitungan yang memusnahkan ilusi tentang keamanan yang kekal dan mengingatkan kita walaupun di Eropah, sejarah boleh berulang.

“Namun, kita tidak lupa walaupun sejarah boleh membebaskan, ia juga boleh memenjarakan.

“Oleh itu, Eropah kini berdepan dengan ketidaktentuan dalam pakatan yang telah lama terjalin.

“Dalam perdebatan mengenai perbelanjaan ketenteraan dan tekad bersama yang menjadi nyata, tunjang kepada pakatan merentasi Atlantik sedang diuji melalui kaedah yang tidak dilihat selama beberapa generasi.

“Projek Eropah, yang dirancang untuk menamatkan peperangan melalui integrasi, kini mendapati perlu menilai semula keupayaan pertahanan, kedaulatan teknologi dan keselamatan tenaganya,” kata beliau.

Sehubungan itu, Anwar berkata walaupun Asia Tenggara mengalu-alukan kerjasama Eropah dan kehadirannya yang semakin meningkat di rantau ini, antaranya melalui hubungan yang semakin berkembang dengan ASEAN, ia perlu dilaksanakan dengan betul mengikut terma yang setara.

“Kami yakin ini adalah masa yang sesuai kepada perbincangan yang terbuka dan teliti mengenai terma kerjasama kita – yang tidak berdasarkan hierarki namun berlandaskan sikap hormat-menghormati dan persefahaman bersama,” kata Perdana Menteri.

Mengenai perdagangan, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa perdagangan sewajarnya menjadi penghubung, bukannya penghalang.

“Dalam membina kerjasama yang bermakna bagi Asia Tenggara dan Eropah, hubungan ekonomi kita perlu berpandukan prinsip yang sama seperti yang kita harapkan dalam aspek keselamatan: hormat, fleksibiliti dan kawalan diri,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Asia Tenggara menghormati sepenuhnya hak Eropah untuk menetapkan peraturan yang mencerminkan nilainya.

“Bagaimanapun, apabila peraturan itu menutup ruang kepada pihak lain, walaupun tanpa niat, kita perlu berbincang secara terbuka mengenai akibatnya.

“Kami tidak meminta keistimewaan. Kami hanya mahukan Eropah menerima kami seadanya, bukan mengikut acuan model mereka.

“Apa yang kami cari bukanlah keistimewaan, tetapi keadilan. Bukan pengecualian, tetapi kesaksamaan,” kata Anwar.

Sehubungan itu, walaupun Asia Tenggara menyambut baik kerjasama dengan Eropah, Anwar menegaskan ia mestilah berdasarkan sikap hormat-menghormati dan kesetaraan.

Perdana Menteri berkata rantau ini menolak sikap merendah-rendahkan pihak lain, strategi pembendungan geopolitik dan mengheret kebimbangan dari negara luar melanda ke Asia Tenggara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top