Taktik peniaga simpan rokok seludup belakang kaunter, simpan di rumah terbiar berjaya dikesan Kastam Kelantan

Taktik peniaga simpan rokok seludup belakang kaunter, simpan di rumah terbiar berjaya dikesan Kastam Kelantan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Menyembunyikan rokok di belakang kaunter atau sudut tersorok dalam premis jualan sebelum dijual kepada pelanggan menjadi taktik peniaga rokok seludup.

Ada juga individu yang bertindak menyimpan timbunan rokok seludup di rumah terbiar dan diedarkan kepada pelanggan secara senyap-senyap.

Bagaimanapun modus operandi itu berjaya dikesan pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan yang menumpaskan kegiatan itu ketika Op Loging di Gua Musang, dekat sini, baru-baru ini.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula 10 hingga 13 November lalu itu, pihaknya berjaya merampas sejumlah rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai rampasan berjumlah RM315,708.75 termasuk cukai.

“Op Loging yang dijalankan baru-baru ini membabitkan serbuan di 16 lokasi berasingan sekitar kawasan Lojing, Gua Musang.

“Kami berjaya merampas sejumlah rokok seludup dengan nilai rampasan berjumlah RM73,062.36, manakala cukai terbabit adalah RM242,646.39.

“Turut ditahan 10 individu berusia antara 40 hingga 50 tahun yang disyaki pemilik premis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Jamal berkata, rokok seludup itu dijual kepada penduduk tempatan yang terdiri daripada pekerja ladang termasuk warga asing dan barangan itu memang mendapat permintaan tinggi berikutan harga yang murah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

“Atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Orang awam diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke Pejabat Kastam yang terdekat di semua

negeri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top