am@hmetro.com.my
Ipoh: Cubaan menyeludup lembu untuk korban dari Kelantan ke negeri ini menggunakan lori bertutup (bonded truck) yang diubah suai, gagal selepas dikesan penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), hari ini.
Pengarah Veterinar Perak, Dr Saifullizam Abd Kadir berkata, lori membawa 12 lembu hidup tanpa kebenaran itu dikesan ketika Ops Korban Mega sempena Aidiladha berhampiran kawasan Tugu Peringatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, kira-kira 10 pagi.
Menurutnya, sebelum itu, pihaknya mengesan lori berkenaan yang mencurigakan berhampiran Hentian Titiwangsa JRTB dan mengekorinya sejauh 40 kilometer.
“Ketika pemeriksaan, pemandu iaitu lelaki usia 50-an gagal mengemukakan dokumen pemindahan ternakan dan disyaki lembu dibawa dari Kelantan secara haram.
“Dari luar, lori kelihatan seperti ‘bonded truck’ yang sering digunakan untuk membawa barangan sejuk seperti sayuran, namun terdapat beberapa pengubahsuaian dilakukan seperti pemasangan kipas pada dinding lori bagi pengaliran udara.
“Modus operandi sebegitu digunakan bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa. Kebiasaannya ‘bonded truck’ tidak membenarkan udara dari luar masuk kerana sedia dilengkapi perkakasan pengawalan suhu,” katanya kepada pemberita di pejabat JPV Perak di sini hari ini.
Dr Saifullizam berkata, lori dan ternakan yang keseluruhannya dianggarkan RM120,000 dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM15,000.
“Lembu kebanyakannya jantan juga agak keletihan memandang perjalanan panjang, selain ‘stress’ susulan persekitaran dalaman lori. Ia mungkin dipuasakan terlebih dahulu sebelum perjalanan bermula atau tidak diberi makan minum mencukupi bagi mengelak masalah lain,” katanya yang memaklumkan lembu terbabit akan menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut.
Dalam pada itu, pihaknya merekodkan 27 kes penyeludupan atau pemindahan ternakan tanpa permit sah dengan nilai rampasan melebihi RM460,000 dalam tempoh Januari hingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd