Takut dituduh buat tuntutan palsu, kerani serah RM126,000

Takut dituduh buat tuntutan palsu, kerani serah RM126,000

am@hmetro.com.my

Kuantan: Kerani sebuah syarikat swasta kerugian RM126,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans dan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu menyamar wakil syarikat insurans, November lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa ada individu menggunakan nama lelaki terbabit membuat tuntutan insurans palsu.

“Suspek kemudian menyambung perbualan telefon itu kepada individu menyamar sebagai pegawai polis dan pihak pendakwa raya.

“Mangsa diminta membayar jaminan sebanyak RM68,000 untuk menyelesaikan kes itu.” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Adli berkata, disebabkan panik lelaki terbabit membuat tiga transaksi berasingan ke tiga akuan bank berbeza menggunakan mesin deposit tunai (CDM).

Menurutnya, semua transaksi itu dilakukan antara 5 Disember 2024 dan 1 Jun 2025.

Katanya, mangsa menyedari tertipu selepas gagal menghubungi pihak membuat panggilan telefon itu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan, di sini, tengah hari semalam.

“Mangsa mendakwa sumber wang untuk transaksi itu adalah duit simpanan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Adli menasihatkan orang ramai tidak panik ketika menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali khususnya mendakwa mewakili agensi penguatkuasaan atau institusi kewangan.

“Orang ramai juga perlu segera menyemak dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top