am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Seorang pesara wanita di sini, menjadi mangsa penipuan panggilan palsu hingga mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa wanita berusia 61 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada 3.31 petang semalam.
Menurutnya, pada 21 November lalu kira-kira 6.30 petang, ketika mangsa di rumahnya di Kuala Terengganu, dia menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak diingati.
Katanya, melalui perbualan itu, pesara itu dimaklumkan kononnya membuat tuntutan pembedahan tulang belakang sebanyak tiga kali berjumlah RM68,000.
“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat laporan polis melalui dalam talian dan disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Petaling Jaya.
“Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa kad pengenalannya juga digunakan untuk tuntutan palsu dan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, mangsa turut diberikan dokumen dan maklumat berkaitan kes itu, namun mangsa memadamkan maklumat berkenaan.
Katanya, mangsa juga diarahkan supaya tidak memaklumkan kepada sesiapa dan mengasingkan diri serta diminta melapor diri sebanyak lima kali sehari kepada individu berkenaan.
Menurutnya, mangsa juga diberikan pilihan untuk menyelesaikan kes dengan cara mengumpulkan wang ke dalam satu akaun bank miliknya, kononnya untuk tujuan pemantauan oleh Bank Negara Malaysia.
“Mangsa kemudian memberikan maklumat peribadi termasuk salinan kad pengenalan, alamat, maklumat akaun bank dan maklumat lain-lain kepada sindiket terbabit.
“Selain itu, mangsa juga memindahkan wang ke satu akaun bank miliknya daripada beberapa akaun simpanannya,” katanya.
Menurutnya, selain itu mangsa turut memindahkan wang hasil gadaian barang kemas miliknya sendiri ke akaun berkenaan dan kejadian itu berlarutan sejak November hingga Disember tahu lalu.
Katanya, mangsa menyedari menjadi mangsa penipuan melalui telefon membabitkan penyamaran sebagai pihak berkuasa selepas ingin membuat pengeluaran wang namun tidak berjaya, sebelum membuat laporan polis
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




