Takut sakit, lupakan gelaran juara – Misbun

Takut sakit, lupakan gelaran juara – Misbun

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Legenda kejurulatihan negara, Datuk Misbun Sidek menegaskan disiplin diri dan kekuatan mental menjadi faktor utama yang membezakan antara atlet biasa dan juara sebenar.

Bagi Misbun, cabaran paling sukar bagi seseorang atlet bukanlah ketika bertanding, sebaliknya bermula seawal bangun tidur pada waktu pagi untuk menjalani rutin latihan.

Katanya, untuk berjaya, atlet perlu sentiasa memaksa diri melepasi had kemampuan kerana hanya melalui latihan berulang kali mereka mampu bertindak secara tepat ketika berada di bawah tekanan perlawanan.

“Bangun pagi itu cabaran paling besar. Kalau anda mampu lakukannya setiap hari, kekuatan mental anda akan jadi sangat kuat. Selepas itu, segala-galanya akan terasa lebih mudah.

“Ada masanya anda sampai ke had dan tidak pasti sama ada mampu teruskan atau tidak. Sebab itu kita berlatih berulang kali supaya apabila tekanan datang, kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada pemain muda India menerusi perkongsian di TikTok Nusa Mahsuri.

Tambahnya, setiap atlet mempunyai ‘jurulatih’ dalam diri sendiri yang membimbing mereka membuat keputusan di saat genting.

“Kadang-kadang anda terasa mahu berlari atau menolak lebih kuat dan itu suara dalaman yang menyuruh anda bergerak ke hadapan. Jika mahu menjadi lebih baik, mulakan dahulu, kemudian barulah tentukan langkah seterusnya,” katanya.

Justeru, bekas jurulatih yang pernah membimbing Datuk Seri Lee Chong Wei turut mengingatkan bahawa ramai atlet tahu apa yang perlu dilakukan di gelanggang, namun gagal melaksanakannya kerana takut menanggung kesakitan atau tekanan.

“Ramai tahu mereka mahu menyerang atau menolak lebih kuat, tetapi mereka menahan diri kerana takut sakit. Di situlah bezanya antara yang berjaya dan yang kecundang,” katanya.

Untuk makluman, Misbun berganding bahu bersama jurulatih India, Rajinikanth yang berpangkalan di Tamil Nadu untuk melahirkan pemain perseorangan berkaliber di pentas dunia.

Sebagai rekod, beliau sendiri pernah menyatakan sedang mencari pemain nombor satu dunia keempat dan mungkin ia ada di India.

Sebelum ini, Misbun berjaya melahirkan beberapa pemain sehingga berada di kedudukan nombor satu dunia seperti Chong Wei, Datuk Rashid Sidek dan Roslin Hashim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top