Takut tanggung dosa, Nora Danish beri semua pakaian lama kepada rakan bukan Islam

Takut tanggung dosa, Nora Danish beri semua pakaian lama kepada rakan bukan Islam

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon jelita, Nora Danish, 42, memberi semua pakaian lama miliknya yang mendedahkan aurat kepada rakan-rakan bukan beragama Islam sejak dia mula berhijrah dan bertudung tahun lalu.

Nora berkata, dia tidak menjual pakaian itu kerana bimbang akan menanggung dosa individu beragama Islam yang membelinya.

“Semua pakaian saya dari era berpakaian seksi diberikan kepada rakan-rakan bukan Islam.

“Saya tidak boleh menjualnya kerana dikhuatiri akan menanggung dosa mereka yang memakainya. Semua pakaian itu sudah lama saya berikan dan tidak lagi menyimpannya,” katanya ketika ditemui di majlis pertunjukan fesyen koleksi jenama Amber bertemakan Raya Romantics di sebuah hotel di sini.

Selain tidak lagi menyimpan pakaian seksi, ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi dia kini dalam proses memadam gambar-gambar yang kurang sopan di Instagram.

“Saya sebenarnya perlu memadam semua gambar yang tidak menutup aurat di Instagram, tetapi ia mengambil masa kerana jumlahnya sekitar 26,000 gambar.

“Setakat ini, saya sudah memadam beberapa ribu gambar, tetapi masih banyak lagi yang perlu diteliti satu-persatu. Bila melihat kembali gambar-gambar lama, saya terfikir, ‘apalah yang aku buat dulu’.

“Namun, ini adalah sebahagian daripada perjalanan hidup. Jika saya tidak melalui fasa-fasa itu, mungkin saya tidak akan merasai penyesalan seperti sekarang,” katanya.

Menyentuh mengenai istiqamah, Nora sentiasa berdoa kepada Allah agar dirinya sentiasa berada di jalan yang benar menuju reda Ilahi.

“Berhijrah itu mudah, tetapi untuk istiqamah bukan sesuatu yang senang. Istiqamah perlu dilihat dari pelbagai aspek, termasuk menjaga solat di awal waktu dan banyak lagi.

“Saya sentiasa berharap dan berdoa kepada Allah agar perasaan sedih serta rasa berdosa ini kekal dalam diri saya selamanya.

“Jika ditanya mengenai petua untuk istiqamah, saya sendiri tiada jawapan. Namun, saya sentiasa berdoa agar dikelilingi oleh orang-orang yang baik yang boleh mengingatkan saya,” katanya.

Nora mula mengubah penampilan sekitar Julai tahun lalu ketika menjaga bekas suaminya iaitu Nedim Nazri yang menerima rawatan di salah sebuah pusat perubatan.

Nora berkata, dengan mengenakan pakaian menutup aurat memudahkan dia untuk bersolat dan mengaji sepanjang menjaga Nedim di hospital.

Tidak hanya itu, Nora memberitahu, salah satu faktor mendorong dia berhijrah adalah kerana sering menghadiri majlis ilmu agama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top