Talian hayat terakhir skuad takraw wanita

Talian hayat terakhir skuad takraw wanita

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Piala Raja Thai yang bakal membuka tirai Ahad ini ibarat talian hayat terakhir buat skuad sepak takraw wanita untuk mengelak daripada dikenakan rombakan secara besar-besaran berikutan prestasi kurang memuaskan sejak kebelakangan ini.

Suka ataupun tidak, ketua pasukan, Siti Norzubaidah Che Ab Wahab dan rakan-rakannya yang lain harus mempamerkan prestasi terpuji terutamanya dalam acara quadrant selepas dinaikkan pangkat beraksi di peringkat premier.

Menurut Norzubaidah, mereka berharap dapat mencapai kejayaan dan membina satu harapan baharu buat pasukan wanita selepas mendapat isyarat tegas daripada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

“Bagi pasukan wanita persiapan berjalan lancar dan kami berlatih dengan baik untuk memberi fokus kepada acara quadrant,” katanya ketika ditemui media Rabu lalu.

Ujarnya, selepas berjaya muncul juara peringkat divisyen tahun lalu, momentum berkenaan perlu diteruskan untuk saingan premier walaupun bakal berdepan gergasi Asia seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar.

“Tahun lepas kami muncul juara peringkat divisyen untuk melonjak ke premier, jadi fokus kami kepada acara quadrant, ada potensi walaupun ia agak sukar.

“Cabaran sekarang adalah untuk melepasi peringkat kumpulan selepas diundi bersama penyandang juara, Vitenam, China, Laos dan Kemboja. Vietnam memang agak sukar kerana mereka juara tahun lalu,” kata pemain kelahiran Kelantan itu.

Tambah Norzubaidah, mereka sekarang ini mengintai kedudukan kedua terbaik untuk mara ke separuh akhir dan mengakui bakal mendapat tentangan daripada naib juara divisyen tahun lalu, China dan Laos.

“Laos kita jarang bertemu, jadi tidak tahu kekuatan dan kelemahan mereka. China juga boleh dikatakan 50-50 walaupun kami mengalahkan mereka di final divisyen tahun lalu 21-17, 21-14. Kita tidak tahu persiapan mereka macam mana kali ini,” katanya.

Selain quadrant skuad wanita juga turut beraksi dalam acara berpasukan apabila diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, China dan Myanmar.

Terdapat juga pemain wanita yang beraksi dalam acara quadrant campuran bersama pemain lelaki selepas diundi dalam Kumpulan A premier bersama India, Laos dan Vietnam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top