Taliban tawan semula kubu kuat Panjwai, Kandahar

Taliban tawan semula kubu kuat Panjwai, Kandahar

KANDAHAR: Taliban berjaya menawan semula daerah bekas kubu utama pergerakan itu di Kandahar selepas bertempur sepanjang malam dengan pasukan bersenjata Afghanistan.

Pegawai mengesahkan serangan kumpulan itu menyebabkan ratusan keluarga lari meninggalkan daerah berkenaan.

Pemberontak semakin giat berusaha menawan kembali wilayah di kawasan luar bandar Afghanistan sejak awal Mei lalu apabila tentera Amerika Syarikat (AS) memulakan pengunduran pasukannya dari negara yang dilanda keganasan itu

Kejatuhan Panjwai di wilayah selatan Kandahar berlaku hanya dua hari selepas pasukan AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengosongkan Pangkalan Udara Bagram yang menjadi pangkalan utama mereka dekat Kabul.

Pasukan AS dan NATO menempatkan tentera mereka di Afghanistan selama lebih dua dekad bagi mengetuai operasi memerangi Taliban serta sekutunya, Al-Qaeda.

Selama bertahun-tahun, pasukan Taliban dan tentera Afghanistan secara berkala bertempur di sekitar Panjwai, dengan pemberontak berusaha menawan sebanyak mungkin daerah berdekatan Kandahar, ibu kota Afghanistan.

Pemimpin Taliban, Hibatullah Akhundzada, adalah anak kelahiran Panjwai manakala Kandahar adalah tempat kelahiran Taliban, yang pernah memerintah Afghanistan dengan memperkenalkan undang-undang syariah Islam yang tegas.

Bagaimanapun, ketegasan mengikut acuan mereka sendiri itu tidak mendapat sokongan majoriti penduduk Afghanistan dan disingkirkan oleh pencerobohan gabungan tentera pimpinan AS pada 2001.

Gabenor Panjwai, Hasti Mohammad, berkata tentera Afghanistan dan pejuang Taliban bertempur sehingga malam, menyaksikan pasukan pemerintah akhirnya terpaksa berundur dari daerah itu.

“Taliban menawan markas polis daerah dan rumah serta ibu pejabat gabenor,” katanya kepada AFP.

Ketua Majlis Wilayah Kandahar, Sayed Jan Khakriwal, mengesahkan Panjwai jatuh ke tangan Taliban dan mendakwa pasukan tentera pemerintah dengan sengaja mengalah kepada kumpulan militan itu.

“Dilaporkan keluarga di Panjwai mula meninggalkan kediaman mereka selepas Taliban menawan daerah itu,” menurut wartawan AFP.

Assadullah, seorang komandan polis sempadan di daerah itu, memaklumkan hanya pasukan polis yang bertempur dengan pemberontak.

“Tentera dan komando yang mempunyai peralatan ketenteraan lebih baik sama sekali tidak berperang,” katanya.

Panjwai adalah daerah kelima di wilayah Kandahar yang jatuh kepada pemberontak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan Setiausaha Gabenor Kandahar terbunuh ketika bom yang diletakkan di keretanya meletup berhampiran perkarangan pejabat itu.

Pertempuran berlaku di beberapa wilayah Afghanistan dan Taliban mengisytiharkan menawan lebih 100 dari hampir 400 daerah di negara itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top