Taman Tasik Taiping inspirasi lestari hijau

Taman Tasik Taiping inspirasi lestari hijau

TAIPING – Bagi kebanyakan orang, tiada panorama seindah alam hijau kerana ia menjadi simbol ketenangan.

Ramai yang ingin menatap keindahan tersebut sehingga menjelajah ke bumi matahari terbit, namun mungkin mereka alpa yang dicari itu ada di tanah air sendiri.

Tidak jauh di utara Semenanjung, mereka yang cintakan kehijauan alam pasti terpukau apabila menjejakkan kaki ke Taiping, Perak.

Taman Tasik Taiping yang merupakan taman awam pertama Tanah Melayu menyajikan pemandangan pokok hujan-hujan yang kini berusia lebih satu abad.

Namun, akibat usia yang mencecah 139 tahun menjadikan pokok-pokok itu memerlukan pemuliharaan yang lebih rapi terutama selepas terdapat beberapa batang pokok berkenaan ‘rebah’ ke tanah.

Tanggungjawab itu digalas baik oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan menutup beberapa jalan utama di taman tasik berkenaan.

Khairul Amir Mohamad Zubir

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, langkah itu diambil bertujuan memastikan aliran tanah dan sistem pengakaran tidak ‘tertekan’ dengan beban berat kenderaan yang melalui kawasan sekitar.

“Selain itu, beberapa pokok yang condong kita tegakkan semula dengan kaedah pemasangan sangga atau propping bagi menjamin jangka hayat pokok,” katanya ketika ditemui di Wisma Perbandaran Taiping baru-baru ini.

Pemasangan sangga pada pokok hujan-hujan

Usaha itu dilihat membuahkan hasil apabila ramai pengunjung menghargai tindakan MPT yang memelihara khazanah pokok warisan tersebut.

Ong Lay Seong

“Selepas saya bersara, hampir setiap hari saya akan ke taman tasik ini ditemani isteri untuk menatap kehijauan alam dan paling terkesan, pokok tua itu dijaga rapi pihak MPT. Syabas dan tahniah,” ujar Ong Lay Seong yang merupakan anak jati Taiping.

Bukan itu sahaja, usaha MPT dalam melestarikan alam hijau wajar diberi kredit apabila berjaya menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di negara ini yang memiliki serta menguruskan bas elektrik.

Bas elektrik menjadi salah satu tarikan di Taiping

Bas yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya hasil sumbangan Kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) boleh memuatkan seramai 22 orang termasuk dua penumpang Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun, segala usaha itu tidak memberi makna sekiranya orang ramai tidak berkunjung ke Taiping untuk memanfaatkan inisiatif yang diambil pihak MPT.

Ingatlah, tanah air kita tidak pernah ketandusan persekitaran hijau, hanya kita yang perlu menghargai. – MalaysiaGazette