Tambah baik sistem, banteras rasuah sektor perhutanan

Tambah baik sistem, banteras rasuah sektor perhutanan

SEPANG: Bajet, logistik, kekurangan sumber manusia dan aset antara perkara yang menjadi kekangan kepada pihak penguat kuasa menjalankan tugas pengoperasian di hutan negara ini.

Pensyarah Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Pakhriazad Hassan Zaki berkata, sehubungan itu, sistem sedia ada perlu ditambah baik bagi menutup segala ruang dan peluang yang berpotensi berlakunya perbuatan rasuah dalam sektor perhutanan.

“Kalau lihat kepada kerja-kerja hutan ini, ia bukan hanya memerlukan aspek ketahanan jiwa tetapi mesti disokong dengan peralatan logistik terkini sejajar perkembangan agensi-agensi lain di negara kita.

“Saya kasihan melihat petugas jabatan yang dalam keadaan begitu daif melakukan tugas-tugas berat tanpa kemudahan yang sepatutnya dibekalkan oleh jabatan,” katanya dalam Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Mac lalu.

Beliau membentangkan hasil kajian bertajuk Analisis Risiko Rasuah dan Potensi Ancaman Dalam Sektor Perhutanan Di Malaysia yang dijalankan bersama Pensyarah Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM, Prof. Dr. Mohd. Hasmadi Ismail.

Dalam pada itu, Pakhriazad berkata, bilangan kekuatan sumber manusia seharusnya ditambah sejajar dengan keluasan hutan yang perlu dipantau oleh kakitangan tersebut lebih-lebih lagi ini melibatkan tugas pengoperasian.
“Jabatan juga perlu membuat satu tindakan dalam pengisian kakitangan yang kurang dan tidak diganti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, daripada hasil kaji selidik termasuk temu bual di lapangan, terdapat ruang dan peluang yang berpotensi berlakunya aktiviti rasuah dalam sektor perhutanan.

“Bayangkan seorang Pegawai Hutan Daerah (DFO) perlu menjaga 12 daerah dengan Gred 41 manakala, di pejabat pula 12 orang sahaja kakitangan untuk melakukan tugas.

“Kalau tengok kawasan hutan termasuk tanah milik melebihi 400,000 hektar dan nak jaga beberapa orang sahaja ditambah dengan beberapa masalah seperti geografi keadaan suhu, air selain ancaman pemburu haram. Jadi macam mana mereka nak buat kerja,” katanya.

Mengulas lanjut, Pakhriazad berkata, sistem data Jabatan Perhutanan juga perlu berubah ke bentuk digital sekali gus boleh diakses oleh pegawai yang berkaitan dalam menjalankan pengawalan. – UTUSAN