SYARIKAT penerbangan global mula menaikkan tambang susulan lonjakan harga bahan api jet yang didorong konflik di Asia Barat sekali gus meningkatkan tekanan kos operasi industri tersebut.
Menurut laporan Reuters, harga bahan api jet yang sebelum ini berada sekitar AS$85 hingga AS$90 setong sebelum konflik tercetus kini melonjak kepada antara AS$150 hingga AS$200 setong dalam beberapa hari kebelakangan ini.
“Air New Zealand telah menaikkan semua tambang penerbangannya susulan peningkatan kos bahan api.
“Syarikat itu juga mungkin mengambil langkah tambahan berkaitan harga sekiranya kos bahan api kekal tinggi,” menurut laporan tersebut.
Terdahulu, saham Air New Zealand dilaporkan meningkat dua peratus, manakala Korean Air Lines naik lapan peratus, Qantas Airways meningkat 1.5 peratus dan Cathay Pacific melonjak lebih empat peratus.
Menurut laporan tersebut, bahan api merupakan kos kedua terbesar bagi syarikat penerbangan selepas tenaga kerja dan lazimnya menyumbang sekitar satu perlima hingga satu perempat daripada kos operasi industri.
Tambah laporan itu, Air New Zealand turut menggantung unjuran kewangan bagi tahun 2026 berikutan ketidaktentuan yang berpunca daripada konflik berkenaan.
“Jika konflik itu berlarutan dan kos bahan api jet kekal tinggi, syarikat mungkin perlu mengambil tindakan penetapan harga tambahan.
“Air New Zealand juga mungkin menyesuaikan rangkaian penerbangan serta jadual operasi mengikut keadaan semasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Air New Zealand memaklumkan tambang penerbangan sehala kelas ekonomi bagi laluan domestik dinaikkan sebanyak NZ$10 manakala laluan antarabangsa jarak dekat meningkat NZ$20 dan penerbangan jarak jauh naik NZ$90.
Menurut laporan itu, beberapa laluan penerbangan antara Asia dan Eropah turut menyaksikan kenaikan harga tiket susulan penutupan ruang udara serta kekangan kapasiti penerbangan.
Sementara itu, Vietnam Airlines dilaporkan meminta pihak berkuasa negara itu menghapuskan cukai alam sekitar ke atas bahan api jet bagi membantu syarikat mengekalkan operasi.
“Kos operasi syarikat penerbangan meningkat antara 60 hingga 70 peratus akibat kenaikan harga bahan api.
“Pembekal bahan api juga berdepan kesukaran memenuhi permintaan semasa,” menurut laporan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, saham beberapa syarikat penerbangan di Asia menunjukkan tanda-tanda stabil selepas mengalami kejatuhan sebelum ini.
Ini susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menyatakan konflik berkenaan mungkin berakhir tidak lama lagi.
“Harga minyak turun kepada sekitar AS$90 setong pada Selasa selepas mencecah paras tertinggi AS$119 sehari sebelumnya.
“Perkembangan itu membantu menstabilkan saham syarikat penerbangan di beberapa pasaran Asia,” menurut laporan itu.
Syarikat penerbangan di Asia turut menaikkan harga tiket dan merangka pelan kecemasan susulan lonjakan harga bahan api akibat konflik di Asia Barat.
Menurut laporan Bloomberg, syarikat penerbangan di India telah menaikkan tambang bagi laluan jarak jauh sehingga 15 peratus.
“Lonjakan harga minyak memberi tekanan besar kepada industri penerbangan di Asia yang kebanyakannya bergantung kepada bahan api import.
“Kenaikan kos bahan api dijangka terus memberi kesan kepada harga tiket serta operasi syarikat penerbangan di rantau ini,” menurut laporan tersebut.
Tambah laporan itu, pakar industri berpandangan syarikat penerbangan di Asia kurang dilindungi daripada lonjakan harga minyak berbanding pesaing di Eropah dan Amerika Syarikat.
“Keadaan ini menjadikan syarikat penerbangan serantau lebih terdedah kepada peningkatan mendadak harga bahan api.
“Beberapa syarikat penerbangan kos rendah di Asia Tenggara juga sedang merangka senario penggantungan pesawat sekiranya kos bahan api menjadi terlalu mahal atau sukar diperoleh,” katanya.
Ringkasan AI
- Syarikat penerbangan global menaikkan tambang susulan lonjakan harga bahan api jet akibat konflik di Asia Barat
- Harga bahan api jet melonjak dari AS$85 hingga AS$90 setong kepada AS$150 hingga AS$200 setong
- Air New Zealand menaikkan semua tambang penerbangan dan mungkin mengambil langkah harga tambahan jika kos bahan api kekal tinggi
- Kenaikan kos operasi syarikat penerbangan antara 60 hingga 70 peratus akibat harga bahan api
- Syarikat penerbangan di Asia menaikkan harga tiket dan merangka pelan kecemasan, dengan syarikat di India naikkan tambang sehingga 15 peratus



