hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Gombak: Polis sedang mengesan pelaku yang menampal ugutan dan membaling botol plastik berapi ke halaman sebuah rumah di Taman Desa Jaya, di sini, seperti yang tular di media sosial, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku pada 4.55 petang, 18 Januari lalu dan pihaknya juga sudah menerima laporan dibuat seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.
Menurutnya, kejadian itu berpunca daripada hutang yang dibuat oleh adik pengadu dengan pihak peminjam wang disyaki Along berdasarkan notis ugutan yang ditampal pada pagar rumah.
Bagaimanapun katanya, adik pengadu sudah meninggal dunia pada Disember tahun lalu di Johor.
“Video itu memaparkan seorang individu menampal kertas disyaki ugutan dan membaling botol plastik berapi ke arah halaman rumah. Individu itu masih belum dikenal pasti dan pihak polis masih mengesan individu terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Ariffin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Katanya, mereka yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Faris Nur Shuhaini di talian 017-3166051 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.
© New Straits Times Press (M) Bhd




