Tampilkan Lakonan Hebat Faizal Hussein, ‘Pondok Abuya’ Bakal Meruntun Jiwa

Tampilkan Lakonan Hebat Faizal Hussein, ‘Pondok Abuya’ Bakal Meruntun Jiwa

Telefilem Pondok Abuya yang menampilkan lakonan hebat Faizal Hussein, Vanidah Imran dan Eyka Farhana bakal meruntun jiwa penonton.

Diterbitkan oleh Country & Universal Sdn Bhd, telefilem khas Syawal yang bakal bersiaran pada jam 9 malam ini (Selasa), 1 April 2025 di TV3 diarahkan oleh Feroz Kader.

Menurut penerbit telefilem Pondok Abuya, Jalena Rejab, naskhah ini mengangkat kisah kekeluargaan yang memfokuskan kepada hubungan bapa dan anak perempuan.

“Pondok Abuya menampilkan kisah kekeluarga kerana ia dekat dengan hati penonton. Kami memberi tumpuan terhadap hubungan bapa dan anak perempuan kesayangan.

“Pondok Abuya bercerita mengenai kisah puteri tunggal yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh, akhirnya mengkhianati bapanya sendiri,” katanya.

Memuji persembahan pelakon yang terlibat, Jalena berharap orang ramai dapat memberikan sokongan dengan menonton telefilem ini kerana ia terkandung banyak pengajaran.

“Sudah pastinya naskhah ini sarat mesej dan menampilkan kritikan sosial terhadap institusi kekeluargaan. Selaku penerbit, saya berpuas hati dengan hasil garapan penulis dan pengarah telefilem ini. Barisan pelakon pula memberikan persembahan hebat, khususnya Faizal Hussein yang membawakan watak Abuya.

“Selain Faizal, pelakon lain seperti Vanida Imran, Eyka Farhana, Haidar Hasanudin, Zaidi Omar dan Syahmie Thsaqeef turut memberi lakonan hebat. Saya berharap orang ramai dapat menonton Pondok Abuya,” kata Jalena.

Jangan lupa untuk menonton telefilem istimewa sempena Hari Raya, Pondok Abuya malam ini (Selasa), jam 9 malam di TV3 atau strim sahaja di Tonton!

Scroll to Top