Menampilkan barisan pelakon hebat, drama raya berjudul ‘Hayati’ menjadi sebuah naskhah unik yang mengetengahkan genre ‘Psikologi Emosional Raya’.
Memberi tumpuan kepada kepentingan pengurusan mental dan emosi, drama raya 2025 ini tampil unik dan berbeza daripada kebiasaan karya yang lain.


Merupakan drama raya kolaborasi antara Suria FM bersama YAYA Empire Perfume, karya berdurasi 40 minit ini menyentuh hati dan membawa penonton menyelami sebuah perjalanan jiwa yang penuh liku, dalam usaha memaafkan diri sendiri dan menemukan kekuatan untuk melangkah ke hadapan.
Bermula dengan kemalangan tragis pada malam raya, kehidupan beberapa individu berubah secara drastik, memaksa mereka menjalani proses penyembuhan yang penuh cabaran.
Batas antara realiti dan imaginasi menjadi kabur, mencetuskan konflik dalaman yang mendalam. Setiap watak perlu menghadapi perasaan bersalah, mencari keberanian untuk memaafkan diri sendiri, dan akhirnya menemui kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan harapan baharu.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, drama ini merupakan projek terbesar stesen radio itu dari sudut skala dan tempoh penggambaran.
“Sejak tahun 2019, kami telah menerbitkan tujuh drama raya. Idea dan skrip drama ‘Hayati’ mula digarap sejak September 2024 dan mendapat persetujuan Yaya Empire pada November 2024.
“Selain barisan penyampai kami, drama ini turut dibintangi oleh pelakon hebat seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan, Hawra Jamalullail, Ara Johari, Adam ZBP, serta pempengaruh terkenal Mia Azahar. Lebih istimewa, pengasas Yaya Empire Perfume, Nadia Mat Isa, turut membuat kemunculan khas,” katanya.
Penggambaran berlangsung selama tujuh hari di sekitar Lembah Klang, dengan sebahagian besar babak dirakam pada waktu malam hingga awal pagi.
Antara cabaran terbesar ialah babak bas, yang memerlukan masa tiga hari untuk diselesaikan, selain faktor cuaca yang tidak menentu.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, lebih 100 individu termasuk pelakon dan kru produksi terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi memastikan kelancaran drama ini.
Drama ‘Hayati’ menampilkan elemen penceritaan yang lebih mendalam, dengan sinematografi yang teliti serta pergerakan para pelakon yang dirancang rapi. Bagi melengkapkan perjalanan emosi ini, lagu ‘Pentas Sandiwara’ oleh Fugo telah dipilih sebagai lagu rasmi drama ini.
Lagu yang membawa tema kehidupan dan penghayatan diri ini semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan pendengar muda dan muzik video khas ‘Pentas Sandiwara’ yang menampilkan babak-babak dalam drama ini turut diterbitkan dan ia memberikan pengalaman menonton yang lebih menyentuh perasaan.




