Gong Badak: Ketika negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-68, seluruh rakyat Malaysia diseru untuk menghayati makna sebenar kebebasan yang dicapai. Namun, sedarkah kita bahawa Malaysia kini menjadi antara destinasi utama dunia bagi pelupusan sisa plastik. Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan beberapa negara Eropah mengeksport sisa plastik mereka ke negara-negara membangun seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Bukankah tanah ini milik kita? Apakah hak negara asing untuk meletakkan sisa mereka di tanah air kita? Apa yang mereka dakwa sebagai sisa untuk dikitar semula, akhirnya memenuhi pelabuhan, gudang, kilang dan tanah kita. Data rasmi menunjukkan bahawa Malaysia mengimport lebih 433,000 tan sisa plastik pada tahun 2024, dengan nilai keseluruhan mencecah USD167 juta atau kira-kira RM800 juta. Dalam masa yang sama, industri resin kitar semula tempatan menjana nilai pasaran sekitar RM3.4 bilion setahun, dan dijangka meningkat kepada lebih RM6 bilion menjelang 2030.
Dalam era kelestarian hari ini, syarikat dan negara yang ingin mengurangkan jejak karbon serta memenuhi dasar alam sekeliling seperti ekonomi kitaran (circular economy) menjadikan resin kitar semula sebagai pilihan utama dalam industri pembuatan plastik. Apakah keperluan kita mengimport sisa plastik dari luar? Tidak cukupkah bekalan sisa plastik di dalam negara ketika ini? Atau adakah tanah air kita ini sebenarnya sedang dijajah oleh sesuatu yang lebih halus, lebih senyap, dan lebih merosakkan? Penjajahan sisa plastik mereka.
Resin kitar semula ialah bahan mentah dalam bentuk butiran kecil (pellets) yang dihasilkan daripada proses kitar semula plastik terpakai seperti botol, bekas makanan, atau pembalut industri. Ia digunakan semula dalam pembuatan pelbagai produk plastik baharu termasuk paip, perabot, komponen elektronik dan pembungkusan. Permintaan terhadap resin kitar semula meningkat kerana ia menawarkan alternatif lebih murah dan lestari berbanding resin asli (virgin resin) yang dihasilkan terus daripada petroleum. Walaupun ini menggambarkan potensi ekonomi, kita perlu celik terhadap kos tersembunyi yang ditanggung masyarakat dan alam sekitar yang akan saya huraikan di perenggan berikutnya.
Pengalaman peribadi semasa menghadiri World Expo 2025 di Osaka, Jepun membuka ruang renungan yang mendalam. Di tengah-tengah ribuan pengunjung dari seluruh dunia, hampir tiada kelihatan sisa sampah yang bersepah. Di setiap lokasi tersedia pelbagai jenis tong kitar semula yang disusun mengikut kategori dengan jelas, dan masyarakat dilihat begitu tertib membuang sampah masing-masing mengikut kategori. Namun, pemerhatian ini membawa saya kepada persoalan yang lebih besar iaitu adakah benar negara ini menguruskan sisa mereka dengan cekap dan bertanggungjawab?
Satu demi satu laporan yang saya baca di dalam negara memperlihatkan sisi realiti yang berbeza. Kontena sarat dengan sisa plastik yang dihantar ke negara kita, kilang-kilang haram yang diserbu oleh pihak berkuasa, dan kontena yang ditahan di pelabuhan menunggu untuk dihantar semula ke negara asal. Dua kes terkini ini menjadi contoh nyata bagaimana Malaysia terus menjadi destinasi sisa plastik dari luar negara. Pada 15 Mei 2025, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang telah mengarahkan 38 kontena yang mengandungi campuran sisa plastik tercemar dan e-waste di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) untuk dihantar pulang ke negara asal. Dalam kes lain yang lebih besar, sebanyak 354 kontena disyaki mengandungi sisa haram telah ditahan di Pelabuhan Utara, Klang antara Mac hingga Mei 2025, dengan lebih 100 notis arahan pemulangan dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Ini bukan insiden terpencil. Hampir setiap tahun, laporan demi laporan mendedahkan penahanan kontena sisa dari luar negara di pelabuhan-pelabuhan utama Malaysia. Walaupun banyak kontena telah diarahkan dihantar pulang, kehadiran berterusan kes-kes sebegini mencerminkan negara kita terus menjadi tapak pelupusan antarabangsa bagi negara maju.
Di sebalik naratif indah tentang ekonomi kitaran dan pertumbuhan industri resin kitar semula, kita harus berani meneliti realiti sebenar yang dibongkar oleh laporan bertajuk The Fraud of Plastic Recycling (2024) terbitan Center for Climate Integrity. Laporan ini mendedahkan bahawa sejak lebih tiga dekad lalu, industri petrokimia telah secara sedar mempromosikan idea bahawa plastik boleh dikitar semula sepenuhnya, walaupun mereka tahu secara saintifik dan teknikal bahawa majoriti plastik tidak pernah boleh dikitar semula secara efektif. Kadar sebenar kitar semula plastik global masih berada di bawah 10%, dengan sebahagian besar sisa dibakar, ditanam atau dihantar ke negara lain.
Sisa plastik yang gagal dikitar semula akhirnya akan hanyut ke sungai dan lautan, lalu merosakkan ekosistem marin dalam diam. Dianggarkan antara 19 hingga 23 juta tan plastik memasuki sistem air global setiap tahun, termasuk sungai, tasik dan laut, akibat kelemahan pengurusan sisa di darat. Angka ini menyumbang kepada lebih 150 juta tan sisa plastik yang kini berada di lautan sama ada terapung, tenggelam atau terurai menjadi mikroplastik dan nanoplastik. Daripada jumlah ini, sekitar 5.25 trilion kepingan plastik telah dikenal pasti terapung di permukaan laut dunia. Tragisnya, Malaysia pula berada dalam senarai lima negara utama yang paling banyak membuang plastik ke lautan, dengan purata 2.29 kg sisa plastik per kapita setiap tahun.
Kesan terhadap biodiversiti marin pula amat menggerunkan. Setiap tahun, lebih 100,000 mamalia marin seperti ikan lumba-lumba, paus dan penyu mati akibat termakan atau terbelit dengan plastik. Lebih satu juta haiwan marin lain seperti ikan dan burung turut menjadi mangsa. Penyu misalnya, kerap ditemui dengan plastik dalam sistem penghadamannya akibat tertelan beg plastik yang disangka ubur-ubur. Kajian juga menunjukkan 267 spesies marin telah dikenal pasti terjejas akibat pencemaran plastik, termasuk terumbu karang yang menjadi tempat pembiakan penting bagi ikan-ikan komersial.
Penemuan daripada satu kajian komprehensif oleh Ostle dan rakan-rakan penyelidik di United Kingdom menunjukkan bahawa pencemaran plastik di lautan telah meningkat secara berlipat kali ganda sejak tahun 1957 hingga 2016. Berdasarkan analisis ke atas peralatan Continuous Plankton Recorder (CPR) yang digunakan untuk menyampel plankton di perairan lautan Atlantik dan Artik, para penyelidik mendapati terdapat peningkatan ketara dalam kejadian plastik yang terperangkap bersama plankton sejak awal 1990-an. Kajian ini memberikan bukti kukuh bahawa peningkatan pencemaran plastik bukan sekadar persepsi atau berasaskan pemerhatian di pantai semata-mata, tetapi satu realiti yang telah terbukti di lautan terbuka yang jauh dari daratan.
Ancaman mikroplastik pula lebih menakutkan. Zarah halus ini bukan sahaja mengalir ke dalam badan ikan dan haiwan marin lain, tetapi turut memasuki rantaian makanan manusia. Kajian menunjukkan manusia secara purata mungkin mengambil sehingga 50,000 zarah mikroplastik setahun melalui udara, makanan dan air. Lebih membimbangkan, penyelidik turut menemui mikroplastik dalam paru-paru, plasenta dan darah manusia sekaligus memberi amaran isu kesihatan awam. Terbaru, satu penyakit yang digelar ‘plasticosis’ telah dikenal pasti dalam burung marin akibat keradangan kronik daripada serpihan plastik yang merosakkan saluran pencernaan.
Laporan The Lancet yang diterbitkan pada 3 Ogos 2025 juga menganggarkan bahawa kerugian ekonomi akibat kesihatan berkaitan plastik melebihi USD 1.5 trilion setahun. Ini termasuk kos rawatan, kehilangan produktiviti akibat penyakit, dan kematian pramatang merupakan beban yang akhirnya ditanggung oleh rakyat dan sistem kesihatan awam. Impak kesihatan dan pencemaran plastik lebih berat dirasai oleh komuniti berpendapatan rendah yang tinggal berdekatan kilang kitar semula haram, tapak pelupusan, atau sungai tercemar. Ketidaksamarataan ini memerlukan dasar yang lebih adil dan berpaksikan prinsip keadilan alam sekitar (environmental justice).
Situasi ini mengundang persoalan moral dan maruah. Negara-negara maju mempunyai teknologi dan dana untuk mengurus sisa mereka sendiri, tetapi memilih untuk mencuci tangan dengan mengeksport beban itu ke negara seperti Malaysia. Mereka tidak mahu membina kilang kitar semula di tanah mereka kerana peraturan alam sekitar yang ketat, dan tentangan masyarakat. Sebaliknya, mereka mengambil jalan mudah dengan menghantar kontena-kontena penuh plastik ke pelabuhan Asia Tenggara, termasuk Malaysia menjadi antara sasaran utama. Kita wajar membina kefahaman krisis plastik di kalangan masyarakat untuk memberhentikan penjajahan plastik ini.
Di peringkat penguatkuasaan, kita wajar mengekang aktiviti rakus mengaut keuntungan dengan mengimport sisa plastik tanpa mengambil kira akibat jangka panjang terhadap alam sekitar dan kesihatan rakyat. Banyak kilang kitar semula wujud tanpa lesen sah, beroperasi dalam keadaan tidak terkawal, malah ada yang membuang sisa lebihan ke kawasan luar bandar. Bau busuk, pencemaran air bawah tanah, dan risiko kesihatan kini menjadi beban harian kepada penduduk tempatan atas nama kemajuan ekonomi. Buktinya, anda tonton laporan ABC News 26 April 2024 bertajuk Trashed: The Secret Life of Plastic Exports.
Persoalannya kini, merdekakah kita? Adakah kita benar-benar bebas jika masih bergantung kepada negara luar untuk bahan mentah industri, walaupun ia dalam bentuk sisa? Tiada keraguan tanah air ini milik kita. Kita ada hak mengekang orang luar membuang sisa mereka di sini. Apa makna kemerdekaan jika kita mewariskan kepada generasi akan datang tanah yang tercemar, udara yang beracun, dan laut yang penuh mikroplastik?
Sudah tiba masanya Malaysia mengambil pendirian yang tegas. Pertama, kita mesti menguatkuasakan pengharaman import sisa plastik dari negara-negara yang tidak meratifikasi Konvensyen Basel iaitu perjanjian antarabangsa yang mengawal pergerakan sisa berbahaya merentas sempadan. Pindaan Plastics Basel yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2021 mewajibkan semua negara pihak kepada Konvensyen Basel untuk mengenakan proses Prior Informed Consent (PIC) ke atas kebanyakan jenis sisa plastik yang tercemar atau campuran. Hanya plastik yang bersih dan terdiri daripada satu polimer seperti PE, PP atau PET dikecualikan daripada PIC.
Kedua, kita perlu melaksanakan dasar pengasingan sisa di punca secara menyeluruh. Rakyat mesti dididik dan diwajibkan untuk mengasingkan sisa plastik dari sisa organik dan bahan lain. Ini akan menjadikan sisa domestik lebih mudah untuk dikitar semula, dan mengurangkan kebergantungan kita kepada sisa import. Ketiga, kerajaan perlu melabur dalam infrastruktur kitar semula tempatan, termasuk teknologi dan pengurusan sisa moden. Akhir sekali, kita perlu melaksanakan dasar Extended Producer Responsibility (EPR) yang mewajibkan pengeluar menanggung kos pelupusan dan kitar semula produk mereka.
Hari Kemerdekaan adalah masa untuk kita merenung semula erti kebebasan. Bukan sekadar kebebasan politik, tetapi juga kebebasan daripada ketergantungan yang menjadikan kita mangsa dalam sistem ekonomi global yang tidak adil. Kita tidak boleh membenarkan Malaysia terus menjadi tong sampah dunia. Kita mesti berani menolak naratif bahawa sisa plastik ialah satu bentuk pelaburan ekonomi. Sebaliknya, ia adalah amaran bahawa kita sedang menggadaikan masa depan tanah air ini.
Kemerdekaan yang sebenar ialah apabila kita bebas menentukan masa depan kita sendiri. Tanah yang subur, air yang bersih dan ekosistem lestari yang bakal kita wariskan ini adalah masa depan kita. Merdekanya kita dengan bebas menentukan nasib alam sekeliling kita sendiri, tanpa tunduk kepada tekanan kuasa ekonomi dunia, dan tanpa mengorbankan hak generasi akan datang. Hanya apabila kita berani bertindak, barulah kita benar-benar merdeka.
Oleh Mohd Uzair Rusli
Penulis ialah Prof. Madya di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan memberikan penumpuan penyelidikan dalam Konservasi Haiwan Liar Marin, dan boleh dihubungi melalui uzair@umt.edu.my.