Tanah jerlus: JBPM kesan objek terhalang

Tanah jerlus: JBPM kesan objek terhalang

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Terdapat halangan objek yang tersekat terletak antara 80 meter antara lokasi tanah jerlus dengan lurang kumbahan kedua dikesan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam operasi, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata, penemuan objek itu berdasarkan pengesanan oleh dua anjing Unit Anjing Pengesan (K9), Denti dan Frankie yang dibawa ke lokasi, petang semalam selain pengesanan kamera.

“Daripada penghiduan pasukan K9, nampak macam ada kecenderungan ke arah situ, jadi kita akan berusaha untuk mencari di kawasan berkenaan.

“Ini adalah hasil daripada penghiduan semalam dan melalui kamera juga nampak ada halangan.

“Mungkin mangsa tersangkut dan sebagainya, jadi kita nak buat carian di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, ketika ini, kerja-kerja menyedut air kumbahan dilakukan bagi memudahkan pergerakan penyelam daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM.

“Operasi dengan kaedah selaman itu akan dimulakan jam 2 pagi ini membabitkan lapan penyelam dan dibantu 75 anggota yang mengawal jentera dan logistik.

“Kita lakukan operasi ini jam 2 pagi kerana dijangkakan paras air kumbahan akan kurang dari satu meter berbanding kebiasaannya.

“Ketika ini, paras air pada ketinggian 1.5 meter dengan kelajuan tiga knot. Kelajuan ini menandakan air deras dan merisikokan penyelam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk memeriksa di lurang kumbahan itu kerana ada ruang kecil antara dinding lurang kumbahan dengan paip saluran air kumbahan.

“Terdapat kemungkinan ada objek tersekat di ruang berkenaan. Denti dan Frankie juga akan dibawa turun bersama bantuan kamera serta penyelam apabila air kumbahan surut.

“Kedua-dua anjing baka English Springer Spaniel itu dibawa turun untuk membantu mencari mangsa kerana mempunyai daya pengesanan dalam air yang baik,” katanya.

Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih melakukan pemeriksaan di kesemua lurang ketika ini.

“Usaha usaha pencarian mangsa akan diteruskan dengan pelbagai kaedah serta kepakaran yang ada,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di lokasi setakat jam 11.30 malam ini mendapati lokasi kejadian dipenuhi beberapa lori yang membawa peralatan.

Kenderaam itu dipercayai digunakan untuk proses menyedut air kumbahan bagi memudahkan operasi pencarian.

Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lalu menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India.

Beliau dilaporkan hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di lokasi itu dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keenam, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top