Dua beradik maut manakala seorang lagi cedera apabila rumah mereka di Kampung Bukit Apit, Ajil, Terengganu dihempap tanah runtuh.
Kejadian sekitar jam 4.30 petang pada 29 November itu melibatkan Puteri Sajidah Azman berusia 16 tahun dan Siti Fatimah, 13 tahun yang ditemukan tidak bernyawa.
Manakala, Uzair mangsa pertama yang berjaya diselamatkan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
“Tunggu abang dekat sana ye adik-adik abang”

Di TikTok, abang mangsa, Abdul Razik Azman, 18 tahun yang menyaksikan kejadian tidak dapat menahan kesedihan terkenangkan adik-adiknya.

Abdul Razik memuat naik foto berada di pusara adik-adiknya memohon mereka menunggu di syurga.
Ketika kejadian, abang sedang tidur terdengar jeritan adik
Memetik laporan Buletin TV3, Abdul Razik dipercayai sedang tidur semasa kejadian tanah runtuh berlaku. Dia terjaga apabila mendengar jeritan adiknya meminta tolong sekitar jam 4.30 petang.
Dalam keadaan panik, dia cuba menyelamatkan Puteri Sajidah yang tersepit di bawah timbunan batu, tetapi usahanya gagal.

Ketika itu, Abdul Razik tidak tahu di mana seorang lagi adik perempuan iaitu Fatimah berada. Dia terus keluar rumah meminta tolong dan terkejut apabila mendapati rumahnya telah ranap.





