Tanah runtuh akibat banjir korbankan 33 orang di India

Tanah runtuh akibat banjir korbankan 33 orang di India

Srinagar (Jammu dan Kashmir): Sekurang-kurangnya 33 orang maut dan lebih 20 cedera selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh berhampiran kuil Vaishno Devi di Katra, Jammu dan Kashmir yang ditadbir India, kata pegawai pada Rabu.

Seorang pegawai polis memberitahu Anadolu Ajansi (AA) melalui telefon, seramai 32 orang disahkan maut, manakala lebih 20 orang lain cedera dalam kejadian di bandar Katra, daerah Reasi.

“Polis dan pasukan penyelamat lain berada di lapangan. Kami sedang cuba mencari mangsa yang terselamat,” kata pegawai itu.

Sejak Selasa, sekurang-kurangnya 37 orang maut di daerah Reasi dan Doda.

Jabatan kawalan banjir di rantau itu pada Rabu mengisytiharkan risiko banjir untuk Sungai Jhelum di Lembah Kashmir dan menasihatkan orang ramai untuk menjauhi tebing sungai dan berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Banyak struktur turut rosak. Sekolah, tempat kerja dan perniagaan ditutup kerana hujan lebat menenggelamkan jalan, melumpuhkan kehidupan. Pihak berkuasa menasihatkan penduduk untuk kekal di dalam rumah.

Sejak Isnin malam, wilayah itu mengalami hujan paling lebat dalam beberapa dekad, merosakkan jambatan, menghanyutkan jalan raya dan membanjiri kawasan yang luas, memaksa penduduk berpindah.

“Sekurang-kurangnya 3,500 orang dipindahkan ke tempat yang lebih selamat setakat ini,” kata pegawai.

Indian Railways membatalkan perjalanan 18 kereta api ke dan dari stesen kereta api Katra, Udhampur dan Jammu pada Rabu apabila hujan lebat melanda di wilayah Jammu. Beberapa perkhidmatan dipulihkan sejak itu.

Perkhidmatan mudah alih dan internet sebahagiannya dipulihkan selepas hujan lebat menyebabkan gangguan komunikasi, menurut pengendali telekomunikasi.

Kerja pemulihan masih berjalan selepas talian gentian optik rosak di beberapa lokasi.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top