Tanah runtuh: Penduduk Taman Bukit Permai dinasihat berpindah

Tanah runtuh: Penduduk Taman Bukit Permai dinasihat berpindah

PETALING JAYA: Penduduk di Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai di sini yang berhampiran kawasan tanah runtuh dinasihat berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) atau mana-mana lokasi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hal ini kerana pihaknya mengambil masa untuk menentukan sama ada kawasan tersebut selamat atau sebaliknya.

“Pihak majlis daerah ada menyediakan PPS di Dewan MPAJ Taman Mega Jaya jadi kita harap penduduk dalam radius 100 meter lokasi kejadian dapat berpindah buat sementara waktu.

“Kita memberi pilihan kerana tidak dapat dipastikan keadaan tanah ini selamat atau tidak kerana kerja-kerja menentukan kedudukan tanah masih dalam proses kajian,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.

Tambahnya, setakat ini, sebanyak 15 buah rumah terjejas dalam kejadian tanah runtuh itu.

Terdahulu, seorang wanita tempatan disahkan meninggal dunia manakala lelaki berusia 84 tahun berjaya dibawa keluar dengan selamat dalam runtuhan di Taman Bukit Permai, Ampang di sini.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, tiga lagi mangsa termasuk sebuah pekerja syarikat utiliti air dipercayai masih tertimbus.- UTUSAN

Scroll to Top