Tanah runtuh rosakkan tembok rumah

Tanah runtuh rosakkan tembok rumah

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tembok pagar sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling di sini, rosak selepas berlaku kejadian tanah runtuh petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.46 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Petaling dikejarkan ke lokasi.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd Khairul Nizat Mohammad Rokhi berkata, pasukan bomba tiba pada jam 7 malam dan mendapati kejadian tanah runtuh mengakibatkan tembok pagar sebuah kediaman rosak.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan pemeriksaan mendapati tiada lagi pergerakan tanah di lokasi kejadian.

“PGO Kuala Lumpur turut memaklumkan kejadian itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan serta pemantauan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top