Tanam mudah, hasil lumayan!

Tanam mudah, hasil lumayan!

Taiping: Percubaan bekas jurutera, Abd Halim Abd Majid mengusahakan ladang kantan bukan sahaja dapat menjana pendapatan stabil, tetapi membuka peluang baharu dalam sektor pertanian melalui penjualan benih tumbuhan herba itu.

Abd Halim, 50, yang juga Pengurus Projek Kantan Taiping berkata, segalanya bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu apabila beliau mendapat idea daripada pengalaman rakan kongsinya Mohammad Hazwan Mohamad Nor, 45, yang mengusahakan tanaman kantan sejak 15 tahun lalu.

“Ketika itu, kita susah hendak bergerak kerana bimbang dijangkiti penyakit, maka Mohammad Hazwan mencadangkan supaya menanam kantan dan dalam masa sama memberikan tumpuan kepada penghasilan benih.

“Dia menyarankan saya semai benih anak pokok kantan melalui biji benih atau daripada bunga kantan dan bukannya daripada rizom (pembiakan vegetatif bagi tumbuhan, contoh rizom ialah halia, kunyit dan lengkuas),” katanya ketika ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Pada Mac 2022, percubaannya menghasilkan 800 benih pokok kantan yang mengambil masa tiga bulan untuk mencapai ketinggian 20 sentimeter, dan semangatnya semakin berkobar-kobar apabila berjaya mendapatkan pembeli yang memborong 300 anak pokok ketika itu.

“Pada masa itu, baru kami nampak pasaran benih pokok kantan mendapat permintaan tinggi dan hingga kini kami mengeluarkan 15,000 anak pokok untuk memenuhi permintaan tempatan,” katanya yang menggunakan platform Facebook untuk memasarkan produk kantan mereka.

Abd Halim berkata, benih kantannya kini mendapat sambutan menggalakkan termasuk pemborong dari luar Perak antaranya Muar di Johor, Gua Musang di Kelantan, Kuantan, Pahang termasuk Kedah dan Perlis.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al-Akram Larut Matang dan Selama Perak (PEKEBAL) itu berkata, apabila permintaan semakin tinggi, pihaknya turut membuka peluang perniagaan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah untuk menambahkan pendapatan.

Beliau menggalakkan mereka melakukan pembenihan dan penjagaan anak pokok kantan dengan memanfaatkan halaman rumah sebagai kebun kecil yang hasilnya dibeli semula pihaknya.

“Setakat ini ada beberapa keluarga asnaf yang mengusahakan kira-kira 2,000 hingga 3,000 anak pokok.

“Setiap benih pokok yang dijual berharga antara RM3.50 hingga RM60 bergantung pada saiz dan umur anak pokok dan mereka mampu menjual 400 hingga 500 benih seminggu,” katanya.

Katanya, jualan melebihi 40,000 benih pokok dicatat sepanjang 2023 dan kini permintaan untuk pokok – yang bunganya sering menjadi pelengkap rasa dalam masakan tradisional seperti asam pedas, laksa dan kerabu belum mencukupi.

“Sekarang saya hasilkan produk sambal bilis bunga kantan yang diusahakan penduduk tempatan. Sambutan amat menggalakkan, menjadi harapan saya produk ini menembusi pasaran luar negara satu hari kelak,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Hazwan berkata, pokok kantan dianggap antara tanaman herba mudah dijaga dan kurang risiko penyakit, namun cabaran terbesar ialah faktor cuaca panas dan kos input meningkat.

“Dengan penjagaan rapi, pokok kantan boleh mengeluarkan bunga dalam tempoh 12 hingga 14 bulan selepas ditanam jika pokok mendapat air mencukupi. Apabila pokok berusia 40 hari, tanah perlu digembur dan air perlu dijaga untuk memastikan lembapan mencukupi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak dan agensi berkaitan yang membantu memastikan industri tanaman benih kantan diperkasakan.

“Saya harap lebih banyak belia menyertai tanaman kantan daripada membiarkan tanah lapang tanpa diusahakan. Setidak-tidaknya mampu menjana pendapatan sampingan serta memastikan permintaan pasaran dapat dipenuhi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top