Assalammualaikum Sahibus Samahah Datuk, saya ingin bertanya tentang hukum faraid. Situasinya begini, ibu atau ayah (salah seorang meninggal dunia) ingin memfaraidkan harta peninggalan dan merujuk kepada peguam bertauliah.
Di pejabat peguam berkenaan, semua waris yang hak menyatakan persetujuan untuk memberikan bahagian mereka kepada ibu atau bapa (mana-mana yang masih hidup) dan tidak mahu menuntut hak.
Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, salah seorang waris menuntut kembali hak dengan alasan ketika persetujuan itu diberikan, individu berkenaan terpaksa mengikut keputusan majoriti kerana merasa malu jika mahu menuntut. Apakah hukumnya dan adakah mereka boleh kembali menuntut hak selepas persetujuan diberikan?
Jawapan
“Bolehkah waris menarik balik persetujuan selepas melepaskan hak faraid?”
Pertama sekali diucapkan terima kasih atas persoalan yang dikemukakan.
Pembahagian harta pusaka dan faraid sering menimbulkan persoalan dalam masyarakat, khususnya apabila melibatkan keputusan waris yang pada awalnya bersetuju melepaskan hak mereka, tetapi kemudian ingin menuntut kembali bahagian tersebut. Isu ini semakin banyak dirujuk kepada pihak berautoriti, termasuk peguam syarie, pejabat agama dan institusi fatwa. Justeru, adalah penting untuk masyarakat memahami kedudukan hukum syarak dan undang-undang berhubung persoalan ini.
Dalam Islam, setiap waris mempunyai hak faraid yang ditetapkan Allah SWT. Namun, syarak juga memberikan ruang kepada waris untuk melepaskan hak tersebut secara sukarela, satu tindakan yang dinamakan tanazul. Amalan tanazul dibenarkan selagi memenuhi beberapa syarat asas, iaitu dilakukan secara rela hati, oleh waris yang baligh dan berakal, serta memahami harta yang dilepaskan. Mereka juga tidak boleh dipaksa secara fizikal atau psikologi yang mengancam keselamatan diri.
Isu yang sering timbul ialah apabila waris yang telah menandatangani persetujuan tanazul kemudian mendakwa bahawa keputusan tersebut dibuat kerana ‘malu’, ‘mengikut majoriti keluarga’, atau ‘tak sampai hati.’ Dari sudut fiqh, alasan-alasan seperti ini tidak dianggap paksaan. Ulama menetapkan bahawa paksaan yang membatalkan sesuatu akad mestilah berbentuk ancaman nyata terhadap nyawa, keselamatan atau harta. Rasa segan, tekanan suasana keluarga atau tidak enak menolak tidak termasuk dalam kategori paksaan yang membatalkan persetujuan.
Dengan itu, tanazul yang dibuat secara sedar dan bebas dianggap sah dan mengikat. Kaedah fiqh menyebut
“Pengakuan seseorang menjadi bukti muktamad ke atas dirinya”
Ini bermakna seseorang tidak boleh menarik balik pengakuan atau persetujuan yang telah diberikannya tanpa bukti kukuh bahawa ia berlaku di bawah paksaan atau penipuan.
Dari sudut undang-undang sivil Malaysia, dokumen pengesahan persetujuan yang ditandatangani di hadapan peguam, difahami oleh penandatangan, dan dicatatkan secara rasmi adalah tidak boleh dibatalkan kecuali melalui prosedur mahkamah yang membuktikan berlakunya unsur penipuan, salah nyata atau paksaan yang serius. ‘Rasa malu’ atau ‘mengikut keputusan majoriti’ bukan alasan yang sah bagi membuka kembali keputusan tersebut.
Namun demikian, jika terbukti waris tersebut tidak memahami dokumen, dipaksa dengan ancaman sebenar atau berlaku unsur penyelewengan, maka kes boleh dirujuk kembali kepada pihak berkuasa seperti Mahkamah Syariah untuk disiasat.
Kesimpulannya, waris tidak boleh menuntut kembali hak faraid setelah melepaskannya secara sah di sisi syarak dan undang-undang. Tanazul yang dibuat tanpa paksaan adalah keputusan muktamad. Oleh itu, adalah penting setiap waris diberikan maklumat yang jelas, ruang membuat keputusan tanpa tekanan, dan tempoh masa yang munasabah untuk berfikir sebelum menandatangani sebarang dokumen persetujuan.
Pembahagian harta pusaka bukan sekadar soal harta, tetapi ia juga berkaitan dengan amanah dan keharmonian keluarga. Ketelusan dan kefahaman yang betul akan mengelakkan pertelingkahan yang tidak perlu serta memastikan maslahat waris dilindungi seperti yang digariskan syariat.
Penulis Mufti Pulau Pinang
© New Straits Times Press (M) Bhd




