Tanda Apresiasi Peminat, Showcase ‘Back To Basic’ Bakal Imbau Perjalanan Karier Misha Omar Lebih 2 Dekad 

Tanda Apresiasi Peminat, Showcase ‘Back To Basic’ Bakal Imbau Perjalanan Karier Misha Omar Lebih 2 Dekad 

Penyanyi tersohor, Misha Omar bakal mengadakan showcase ‘Misha Omar Back To Basic’ berlangsung pada 21 Disember ini bertempat di ODEUM, Jiospace, Petaling Jaya, jam 8:30 malam.

Menerusi satu kenyataan media, Misha atau nama lengkapnya Samihah @ Aisah Omar, 42, berkata showcase tersebut adalah satu tanda penghargaan kepada peminat yang tidak henti memberi sokongan terhadapnya sepanjang dua dekad bergelar anak seni.

“Alasan di sebalik pemilihan nama ‘Misha Omar Back To Basic’ mempunyai signifikan tersendiri dengan konsep persembahan pada malam tersebut. Ia seperti pulang kepada asas.

“Saya akan membawa pulang ke saat seorang Misha Omar baru mahu mencetak nama sebagai penyanyi selepas pertama kali mengikat kontrak bersama syarikat rakaman besar pada tahun 2002.

“Bagaimana saya sangat menghargai momen menyanyi di penas kecil seperti Planet Hollywood dan menyanyikan tembang-tembang milik penghibur lain yang telah memberi saya kepercayaan dan inspirasi untuk terus berkarya,” katanya.

Sementara itu, pelantun lagu popular Sampai Bila dan Bunga Bunga Cinta ini menjelaskan ‘Misha Omar Back To Basic Showcase’ diadakan secara kecilan sebagai ‘pemanas’ sebelum menjelang konsert solo berskala besar pada tahun 2025.

“Sebagai penghibur yang sudah dua dekad berada dalam belantika muzik malah masih mampu kekal relevan, bohong jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran.

“Mengapa ‘Misha Omar Back To Basic Showcase’ berskala kecil bukan sebuah konsert mega adalah kerana saya suka untuk memulakan sesuatu dengan langkah kecil sebelum mencetak sejarah yang lebih besar.

“Misha Omar Back to Basic Showcase ini juga saya adakan khas buat peminat yang sentiasa bertanya mengenai bila saya akan menghiburkan mereka secara langsung.

“Ironi, saya sendiri seorang penyanyi yang juga tidak mementingkan soal sudah lama dalam industri, maka perlu bikin konsert tapi lebih memilih melakukan kerja secara berperingkat.

“Mana tahu bermula dengan Misha Omar Back To Basic yang berskala kecil ini menjadi ‘pintu’ menuju konsert mega pada masa akan datang? Kita doa bersama,” ujarnya.

Misha akan menghiburkan peminat selama 90 minit dengan iringan pemuzik berprofil tinggi dianjurkan oleh Double M Productions.

Pesohor seni kelahiran Kelantan ini menggunakan khidmat Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal meletakkan tanggungjawab pengarah muzik, Ayop Azril bersama sembilan pemuzik di bawah pimpinannya.

Manakala, Jennifer Thompson diberi kepercayaan selaku pengarah konsert, semenatara Simon Khoo menggalas tugas pengarah teknikal.

Tiket ‘Misha Omar Back To Basic Showcase’ akan  mula dijual pada 27 November 2024, jam 10 pagi di platform JIOTIX: https://www.jiotix.asia/

Scroll to Top