BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sejarah apabila muncul pasangan beregu campuran pertama dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 yang berlangsung hari ini.
Pengiktirafan berprestij itu hadir selepas pasangan berkenaan mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim lalu termasuk meraih beberapa gelaran di pentas Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sekali gus mengukuhkan status mereka antara gandingan terbaik dunia ketika ini.
Kejayaan Tang Jie-Ee Wei turut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kebangkitan semula acara beregu campuran negara yang kembali menjadi pencabar utama di pentas antarabangsa selepas beberapa tahun berdepan kemerosotan prestasi.
Dalam kategori paralimpik, atlet berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan susulan pencapaian cemerlangnya meraih pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia selain menghadiahkan emas buat negara di Sukan Para ASEAN (APG) menerusi acara ujian masa individu lelaki C1-C2.
Sementara itu, atlet para renang negara, Lim Carmen dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan selepas mengetepikan cabaran Jariah Zakaria dan Parameswary Kashinathan.
Pemenang bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing menerima piala, piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM20,000.
Selain kategori utama, ASN 2025 turut mempertandingkan tujuh lagi kategori membabitkan Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan serta Anugerah Khas.



