Tang Jie-Ee Wei ke final Masters Indonesia

Tang Jie-Ee Wei ke final Masters Indonesia

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan kemaraan ke pentas final Masters Indonesia selepas menundukkan pasangan China yang juga beregu nombor dua dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, di Istora Senayan, hari ini.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 33 minit, pasangan negara mempamerkan aksi bertenaga sebelum mencatat kemenangan straight set 21-17, 21-12, sekali gus menempah slot ke perlawanan akhir buat kali pertama musim ini.

Tang Jie-Ee Wei yang sering mencuri perhatian dengan gaya permainan unik masing-masing dilihat mengawal tempo perlawanan dengan baik, selain meminimumkan kesilapan mudah bagi memastikan kelebihan kekal memihak kepada mereka.

Set pertama menyaksikan pasangan juara dunia itu memberi tentangan sengit, namun pengalaman serta semangat juang tinggi Tang Jie-Ee Wei menjadi pemisah apabila mereka menamatkan set berkenaan dengan kemenangan 21-17.

Momentum positif itu diteruskan dalam set kedua apabila pasangan negara tampil lebih dominan, menguasai gelanggang dan memaksa lawan berhempas pulas untuk meraih mata.

Penguasaan menyeluruh Tang Jie-Ee Wei akhirnya membuahkan hasil apabila mereka menutup set kedua 21-12, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pentas final.

Kejayaan itu amat bermakna buat beregu nombor empat dunia berkenaan yang sebelum ini terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia serta tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka India.

Kemenangan ke atas pasangan China itu juga menyaksikan Tang Jie-Ee Wei merapatkan jurang pertemuan kepada dua kemenangan daripada tujuh perlawanan setakat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top