saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran juara dunia negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei mempunyai persiapan rapi untuk menyinar di saingan Seluruh England yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 8 Mac depan selepas tidak beraksi di Terbuka Jerman seminggu sebelum itu.
Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama pemain berikutan jadual agak rapat di mana Terbuka Jerman akan berlangsung pada 24 Februari sehinga 1 Mac
“Kita perlu lihat karakter dan kondisi setiap pemain. Apabila saya berbincang dengan mereka, kami putuskan untuk Tang Jie–Ee Wei terus beraksi di Seluruh England sahaja.
“Jika mereka muncul juara di Jerman, tak banyak masa untuk berehat. Sebab itulah kami ambil keputusan untuk terus pergi ke Seluruh England sahaja,” katanya.
Dengan tempoh persiapan yang lebih panjang, Nova berharap Tang Jie–Ee Wei mampu mempamerkan aksi lebih mantap di Seluruh England, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi lalu.
Untuk rekod, Tang Jie–Ee Wei belum pernah melepasi peringkat suku akhir kejohanan berstatus Super 1000 itu, dengan pencapaian terbaik mereka setakat mara sehingga pusingan kedua.
“Kami tak mahu letakkan sasaran terlalu tinggi seperti muncul juara, namun mereka perlu menghasilkan keputusan yang baik.
“Tahun lalu kita juga harapkan mereka dapat beri keputusan yang bagus, tetapi akhirnya tersingkir seawal pusingan pertama.
“Inilah realiti sukan badminton. Pemain perlu memberi fokus bermula di pusingan pertama lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




