Tangani impak tak diingini

Tangani impak tak diingini

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia disifatkan sebagai sistem amaran awal kepada keseluruhan pembangunan negara ini.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, dengan adanya Jabatan Perangkaan Malaysia, ia membantu kerajaan melihat kepada segala perancangan pelaksanaan yang dilaksanakan.

Katanya, ia membantu kerajaan bagi menangani impak tidak diingini daripada sesuatu perkara yang biasanya menjadi beban besar kepada sesebuah negara.

“Niat sesuatu dasar itu betul dan dilaksanakan dengan baik. Tetapi selepas satu generasi yang kemudian, kerana negara itu gagal melihat risiko akibat impak tidak diingini, ia melahirkan masalah baru kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) dan Pra Pelancaran Laman Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia di Presint 2 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia Nazaria Baharudin, Naib Presiden Perbadanan Putrajaya Salmah Salman dan Timbalan Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Putrajaya Ahmad Fairuz Mohd Yusof.

Sambutan HSN kali ini adalah yang ke-10 disambut dan istimewanya kali ini, ia dibuat bersekali dengan sambutan Jubli Intan, 75 Tahun Jabatan Perangkaan Malaysia.

Di peringkat global, slogan Connecting The World With Data We Can Trust digunakan sebagai tema untuk tempoh lima tahun 2025 hingga 2025 dalam sambutan hari statistik dunia.

Di Malaysia, sambutan HSN pada tahun 2024 membawakan tema seperti tahun terdahulu iaitu ‘Statistik Nadi Kehidupan’.

Sambutan Hari Statistik ini pada awalnya asing bagi sesetengah pihak namun Jabatan Perangkaan Malaysia telah berjaya membawa aura statistik dalam konteks rakyat marhaen dengan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tidak ada mana-mana pihak boleh mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan perkhidmatan yang ada dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau juga melihat prestasi perkhidmatan yang ditawarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia juga semakin bermutu.

“Kalau dulu khidmat Jabatan Perangkaan Malaysia itu banyak digunakan sebagai laporan rasmi dalam kerajaan, (tetapi) sekarang pengaruh itu telah sampai kepada rakyat yang mana data dan statistik negara telah dirakyatkan kepada pengguna biasa,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia juga memainkan peranan amat penting dengan menjadi nadi data, bukan sahaja untuk perkhidmatan awam, tetapi keseluruhan negara termasuk kepada sektor swasta.

“Sekarang ini, kita nak merakyatkan lagi data. Harapan kita tahun-tahun yang akan datang, hari statistik ini akan dapat libatkan lebih ramai dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir semasa ucapannya pula menyatakan, sejak pengisytiharan Hari Statistik Negara pada tahun 2017, pelbagai usaha terus dilaksanakan untuk merakyatkan dan meningkatkan literasi statistik dalam kalangan agensi dan komuniti seperti pelajar sekolah, universiti, para akademik dan penduduk setempat.

“Sambutan HSN ini juga mengajak kebersamaan antara agensi kerajaan sebagai pemegang taruh dan pelbagai lapisan komuniti.

“Sehubungan itu, dari 2017 sehingga tahun ini, sambutan HSN ini sudah berkembang dan mengalami satu proses kematangan dengan kepelbagaian aktiviti namun tetap memberikan impak yang mendalam terhadap semua pihak berkepentingan,” katanya.

Menurutnya, HSN akan memberi impak ketara kepada inisiatif Jabatan Perangkaan Malaysia untuk memastikan budaya statistik dapat memberi manfaat kepada pembangunan negara dan kesejahteraan sejagat selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

Sambutan HSN kali ini dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings yang memberi ruang kepada Jabatan Perangkaan Malaysia untuk merealisasikan impian bagi membina Laman Statistik.

Laman Statistik ini akan menjadi salah satu mercu tanda serta medium hebahan secara santai dalam meliterasikan statistik terutamanya kepada masyarakat umum.

Selain itu, antara aktiviti HSN pada hari ini adalah aktiviti senamrobik dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

Pada masa sama, Jabatan Perangkaan Malaysia turut menganjurkan kejohanan sukan antara agensi di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi dan KIP Mall Bangi melibatkan tiga kategori pertandingan iaitu bola sepak, bola jaring dan badminton.

Sepanjang Oktober hingga 3 November ini, pelbagai program telah dirancang termasuklah forum perdana, debat statistik, datathon, pengucapan awam, pertandingan poster dan infografik serta pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat.

Aktiviti ini, sebagai salah satu usaha merakyatkan statistik dan merupakan manifestasi penghargaan Jabatan Perangkaan Malaysia kepada komuniti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top