Tangani isu sisa makanan

Tangani isu sisa makanan

asyikin.mat@hmetro.com.my

USAHA menangani isu sisa makanan di Malaysia kini mendapat suntikan baharu melalui kaedah Pengkomposan Sisa Makanan berasaskan bio di bawah Program Kembara Komuniti Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).

Kaedah yang memupuk amalan kelestarian alam sekitar melalui pendekatan ekonomi kitaran tertutup itu dilaksanakan secara kerjasama strategik antara Bioeconomy Corporation dan syarikat berasaskan bio dan pakar sisa makanan, MAEKO Sdn Bhd (MAEKO).

Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri Bioeconomy Corporation, Nora Mohamed berkata, program itu membabitkan 45 peserta dari Komuniti Kebun Agro Harmoni Persatuan Perumahan Awam Seri Sabah dan Komuniti Kebun Agro Desa Rejang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebanyak tiga mesin kompos MunchBot berkapasiti lima kilogram setiap satu dibekalkan untuk kegunaan kedua-dua komuniti itu selain pesertanya diberikan latihan menyeluruh selama 12 bulan berkenaan amalan pengurusan sisa makanan secara lestari.

“Peserta komuniti mampu mengitar semula sisa makanan dan menghasilkan kompos berasaskan bio dalam tempoh hanya 24 jam, jauh lebih pantas berbanding kaedah konvensional yang memerlukan 60 hari atau lebih.

“Setiap 450 kilogram (kg) sisa makanan yang diproses boleh menghasilkan sehingga 90 kg baja kompos berkualiti tinggi,” katanya ketika meninjau sesi penerangan dan latihan program di Kebun Agro Harmoni Persatuan Perumahan Awam Seri Sabah itu baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Komuniti Kebun Agro Harmoni Persatuan Perumahan Awam Seri Sabah, Raja Rahim Raja Muhaiddin; Pengerusi Komuniti Kebun Agro Desa Rejang, Mohd Noor Md Tahir; Penolong Pengarah Bahagian Pertanian Bandar Jabatan Pertanian, Mohd Iskandar Jalawan; dan Ketua Bahagian Jualan MAEKO, Mae Ooi.

Menurut Nora, peserta turut berpeluang menjana pendapatan tambahan dengan menjual kompos dan hasil tanaman mereka.

“Hasil pengurusan yang berkesan, peserta berpotensi meraih pendapatan RM450 sebulan hasil daripada usaha lestari ini,” katanya.

Katanya, program itu menyumbang secara langsung kepada pengurangan sisa makanan, mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia serta memastikan penghasilan tanaman yang segar, selamat dimakan dan bebas daripada residu kimia sintetik.

Penghasilan kompos secara manual turut digalakkan sebagai amalan harian di rumah masing-masing sekali gus memupuk kesedaran dan pembabitan aktif komuniti terhadap penjagaan alam sekitar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top