Tangani jurang gaji

Tangani jurang gaji

DI Malaysia, pekerja diberikan pampasan berdasarkan mekanisme penetapan pembayaran gaji yang dipersetujui dengan majikan.

Namun purata pertumbuhan gaji kekal rendah sepanjang dekad lalu dengan faedah pertumbuhan yang diukur melalui pampasan pekerja juga kekal menunjukkan perubahan tidak ketara serta jauh lebih rendah berbanding negara lain.

Berdasarkan laporan Tinjauan Ekonomi 2025, ia mendapati masih terdapat jurang dan perbezaan gaji yang ketara dalam kalangan pekerja mengikut kategori kemahiran, lokasi, sektor, pekerjaan dan pencapaian pendidikan.

Keadaan itu terus menjadi cabaran dalam usaha untuk ‘Menaikkan Lantai’ seperti yang dihasratkan menerusi kerangka Ekonomi Madani.

Menurut laporan itu, walaupun pekerja mahir telah mendapat manfaat yang lebih besar daripada kemajuan ekonomi dan dasar gaji minimum pula meningkatkan tahap gaji pekerja bergaji rendah namun terdapat segmen tertentu dalam kalangan pekerja yang masih kurang menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi khususnya ‘pekerja bergaji pertengahan yang dihimpit’.

Secara teorinya, aktiviti ekonomi yang lebih rancak sewajarnya diterjemahkan melalui gaji yang lebih tinggi dan seterusnya mempengaruhi secara langsung kuasa beli dan permintaan agregat.

Namun peningkatan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan juga boleh menyebabkan peningkatan harga sebagaimana yang boleh dilihat di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Sebaliknya, aktiviti ekonomi yang kurang produktif di negeri kurang maju dengan kos sara hidup rendah boleh menyebabkan pekerja ditawarkan gaji lebih rendah, sekali gus menghalang pencapaian pembangunan yang lebih inklusif dan kualiti hidup lebih baik.

Secara purata, tiada perbezaan gaji yang ketara dalam kalangan pekerja mengikut saiz syarikat terutama bagi peringkat eksekutif dan eksekutif kanan.

Keadaan ini juga mencerminkan bahawa syarikat lebih besar tidak semestinya mengagihkan peningkatan keuntungan syarikat dalam bentuk gaji yang lebih tinggi.

Daripada aspek kategori perjawatan, pengurusan atasan menerima gaji 20 kali ganda lebih tinggi berbanding kategori bukan eksekutif dan 10 kali ganda lebih tinggi berbanding kategori eksekutif junior.

Sekiranya isu jurang gaji tidak ditangani, aspirasi untuk ‘Menaikkan Lantai’ di bawah kerangka Ekonomi Madani sukar untuk dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.

Dasar kerajaan dalam mempromosikan pekerjaan berkaitan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya dalam kalangan belia juga terus mencabar kerana graduan dengan kelayakan TVET atau kemahiran masih menerima gaji yang kurang menarik.

Walaupun terdapat peningkatan dalam peratusan graduan TVET yang menerima gaji melebihi RM2,000 namun peratusan yang menerima gaji di bawah RM2,000 masih ketara.

Daripada perspektif lain, graduan yang baharu diambil bekerja menerima tahap gaji yang hampir sama tanpa mengira sama ada graduan lepasan institusi tempatan atau luar negara.

Namun lebih 50 peratus daripada graduan yang baru menamatkan pengajian hanya menerima gaji permulaan di bawah RM2,000 sebulan sejak sedekad yang lalu.

Keadaan itu membuktikan bahawa majoriti graduan yang baru menamatkan pengajian dan memasuki pasaran pekerjaan dengan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan minimum bulanan bagi menikmati kehidupan yang lebih wajar dan bermakna seperti yang dicadangkan dalam Belanjawanku 2022/2023.

Menurut KRI (2023), gaji permulaan individu memainkan peranan penting dalam menentukan gaji keseluruhan dan kemajuan kerjaya.

Gaji permulaan yang rendah bukan sahaja menyebabkan kadar kenaikan gaji tahunan juga rendah malah akan menyebabkan individu bekerja mengambil masa yang lebih lama untuk menikmati tahap gaji mencukupi.

Kesimpulannya, struktur gaji sedia ada di Malaysia masih menunjukkan jurang yang ketara merentasi pelbagai aspek meskipun terdapat pelbagai mekanisme penetapan gaji.

Terdapat segmen tertentu dalam kalangan pekerja terutama graduan tertiari yang terus menerima gaji kurang kompetitif seterusnya menimbulkan cabaran bagi individu untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Justeru, terdapat keperluan untuk membangunkan garis panduan penetapan gaji yang standard untuk menambah baik struktur gaji di Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top