Tangguh bayaran yuran, biar pelajar B40 mendaftar dulu

Tangguh bayaran yuran, biar pelajar B40 mendaftar dulu

am@hmetro.com.my

Kuantan: Faktor kemiskinan terutama membabitkan pelajar golongan B40 bukan alasan untuk mereka tidak mendaftar untuk menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya tidak mahu ada pelajar tercicir atau terpaksa melupakan hasrat ke IPTA disebabkan tidak dapat menjelaskan yuran pendaftaran awal.

Menurutnya, pihak IPTA berkenaan juga diminta untuk menangguhkan pembayaran pendaftaran bagi memastikan pelajar yang tidak berkemampuan dari segi kewangan dapat meneruskan pengajian.

Katanya, pada masa sama, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir juga sudah memberi arahan kepada semua IPTA.

“Jika ada masalah berkaitan pelajar atau golongan B40 tidak mampu membayar wang pendaftaran awal itu, pihak IPTA diminta menangguhkan dahulu pembayaran itu.

“Yang penting pelajar mendaftar dahulu, kita tidak mahu ada pelajar tersekat dari segi yuran pendaftaran. Apabila mendapat surat tawaran, pelajar perlu berterus-terang.

“Semua pihak seperti HEPA (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan pengurusan universiti akan bantu kerana kita tidak mahu ada yang tercicir hanya disebabkan masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Elsevier-Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Ketiga bersempena Hari Akademia 2024, di sini, hari ini.

Mustapha berkata, langkah itu susulan kes pelajar perempuan dari Sandakan yang mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tetapi tidak mampu membeli beg, sebaliknya hanya menggunakan guni.

“Kasihan dan menyedihkan, tetapi itu hanya satu kes yang kita nampak. Pengalaman saya di kementerian ini, ada yang terpaksa melupakan hasrat masuk ke universiti disebabkan kekangan kewangan ini.

“Apabila kita datang mereka menangis dan mereka tidak tahu skim yang dibuat kementerian dan kerajaan negeri untuk membantu. Kadang-kadang maklumat tidak sampai kepada pelajar.

“Saya harap kes pelajar UMS ini membuka mata semua dan kepada pelajar golongan B40 yang rasa tidak mampu dapat menghubungi HEPA masing-masing dan insya-Allah, bantuan akan diberikan serta dipermudahkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top