Tangguh Undi 18 alasan kuno – Saifuddin

Tangguh Undi 18 alasan kuno – Saifuddin

KUANTAN – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan alasan penangguhan perlaksanaan Undi 18 dianggap kuno dan tidak memahami aspirasi orang muda.

Beliau yang mendokong kuat Undi 18 melahirkan ketidakpuasan hati berikutan keputusan Undi 18 yang telah disepakati oleh ahli-ahli Dewan Rakyat secara konsensus semasa ia dibentang dan dibahaskan.

Menurutnya, jika benar Suruhanjara Pilihan Raya (SPR) mempunyai masalah teknikal bagi menghadapi persiapan Undi 18, maka pihak SPR perlu menerangkan dan menjelaskan situasi sebenar yang berlaku kepada rakyat.

Terdahulu, isu penangguhan pelaksanaan Undi 18 oleh pihak SPR apabila mengumumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi umur 18 tahun akan dilaksanakan 1 September 2022.

“Ini telah disepakati oleh semua ahli Dewan Rakyat, sebab itu undi consensus semasa ia dibentang dan dibahaskan. Cuma sebelum kita mendengar ada orang memberi alasan, malangnya beliau seorang yang di-Pertua Dewan (Tan Sri Rais Yatim).

“Yang memberi ulasan pada saya sangat kuno dan tidak memahami aspirasi orang muda, dan dua tiga hari lepas kita mendengar pula alasan pula pihak SPR.

“Kalau SPR betul-betul ada masalah teknikal, dia harus jelaskan dan terangkan apa yang berlaku. Kalau betul, tunjukkan  yang betul, manakah masalahnya, apakah dia?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyantuni seramai  64 penerima bantuan kebajikan dan 60 pelajar penerima tablet bagi Program Erat Kasih di Masjid Balok Makmur hari ini.

Ujar Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, alasan tidak munasabah itu juga tidak dipersetujui ramai pihak ekoran ia sudah diputuskan sebulat suara menerusi Dewan Rakyat.

“Kalau sekadar bagi alasan, memang ramai yang marahlah. Sebab sudah buat keputusan oleh Dewan Rakyat, kalau belum buat keputusan, maka itu cerita lain. Jangan bagi alasan kuno. Itu yang saya tak setuju,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top