Tanggungjawab baharu saya sangat berat dan mencabar- Ahmad Samsuri

Tanggungjawab baharu saya sangat berat dan mencabar- Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tanggungjawab baharunya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai sangat besar, berat dan mencabar.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ia terutamanya dalam suasana pengharapan tinggi diberikan pelbagai pihak kepada PN untuk menjadi muafakat politik yang mampu membawa perubahan lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai agama, bangsa, etnik dan latar belakang sosio ekonomi.

“Saya akan berbincang dengan Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (MPT PN) untuk mengadakan mesyuarat bagi menentukan pelantikan jawatan sebagaimana keperluannya dalam Perlembagaan PN.

 “Apa yang perlu disegerakan pada saat ini adalah pengukuhan muafakat politik ini, melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu,  Mesyuarat Luar Biasa MPT PN sebulat suara bersetuju menamakan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan.

Perkara itu dinyatakan keempat-empat presiden parti dalam gabungan tersebut iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dan Presiden MIPP, P. Punithan.

Ahmad Samsuri merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan amanah sebagai Pengerusi PN baharu yang diputuskan oleh semua Presiden parti anggota PN dan anggota MPT PN yang bermesyuarat khas hari ini. 

“Saya turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin atas khidmat bakti sebagai Pengerusi PN dari mula penubuhannya, bersama seluruh kepemimpinan MPT PN yang membina PN sebagai asas muafakat politik yang dapat bergerak cemerlang sehingga mampu memenangi kerusi  besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top