Tatkala Ramadan dan Syawal sudah melabuhkan tirainya kita memasuki bulan Zulkaedah. Semangat untuk beramal ibadah akan diteruskan bagi mendidik jiwa, membersihkan hati dan memperkuatkan hubungan dengan Allah SWT. Kita perlu sentiasa istiqamah dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT. Hakikatnya, ibadah kepada Allah SWT adalah tanggungjawab sepanjang hayat dan bukan hanya bermusim.
Ketika berada dalam bulan Ramadan, kita berlumba-lumba menunaikan solat sunat tarawih, membaca al-Quran, memperbanyakkan sedekah, berzikir, beristighfar serta menjaga solat fardu pada waktunya. Momentum yang sama kita teruskan juga pada bulan-bulan yang lain agar perjalanan hidup kita sentiasa mendapat keredaan Allah.
Ramadan sepatutnya menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah. Jika sepanjang Ramadan kita mampu melatih diri untuk bangun malam menunaikan solat tahajud dan witir, mengapa tidak diteruskan di bulan-bulan yang lain? Jika sepanjang Ramadan kita mampu membaca al-Quran setiap hari, mengapa tidak menjadikan bacaan al-Quran itu sebagai rutin harian sepanjang tahun? Allah SWT tidak hanya menilai amalan kita di bulan Ramadan, tetapi sepanjang hayat kita di dunia ini.
Dalam Surah Al-Hijr, ayat 99, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin (iaitu maut).” Ayat ini menjadi peringatan jelas bahawa ibadah bukanlah bersifat bermusim, tetapi seharusnya menjadi amalan hidup yang berterusan sehingga ajal menjemput kita. Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW dan umat Islam agar terus beribadah dan mengabdikan diri kepada-Nya tanpa henti.
Ibadah tidak terhad kepada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi merupakan satu tanggungjawab sepanjang hayat. Maka, selagi hidup, manusia wajib beribadah kepada Allah tanpa rasa jemu atau berhenti. Umat Islam perlu kekal istiqamah dalam melakukan ibadah seperti solat, puasa, zikir, membaca al-Quran dan segala bentuk ketaatan kepada Allah.
Kita janganlah lalai atau merasa cukup dengan amal yang sedikit. Kita perlu beribadah secara konsisten dan istiqamah dalam mentaati Allah SWT serta sentiasa bersedia menghadapi kematian yang pasti akan datang. Orang yang istiqamah dalam beribadah bukan sahaja mampu mendekatkan diri kepada Allah, bahkan ia menjadi benteng untuk menjaga hati dan jiwa daripada bisikan syaitan yang sentiasa menyesatkan.
Di samping solat, amalan membaca dan menghayati al-Quran perlu diteruskan. Jangan jadikan mushaf hanya teman di bulan Ramadan, sebaliknya peliharalah hubungan dengan al-Quran di sepanjang hayat kita. Bacaan al-Quran bukan sekadar bacaan, tetapi ia adalah panduan hidup seorang Muslim.
Sedekah dan infak juga adalah amalan yang sangat dituntut. Biasakan diri kita bersedekah secara konsisten, walaupun jumlahnya kecil. Amalan ini mendidik hati untuk tidak kedekut, mengikis sifat tamak dan menumbuhkan rasa syukur atas nikmat yang Allah kurniakan.
Selain itu, kita juga perlu mengekalkan ibadah berpuasa. Amalan berpuasa sunat seperti puasa enam hari di bulan Syawal, puasa Isnin dan Khamis, serta puasa sunat Ayyamul Bidh (13, 14, 15 setiap bulan Hijrah) adalah antara ibadah yang sangat besar ganjarannya. Puasa bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi ia mendidik diri untuk menjadi insan yang sabar, tabah dan sentiasa mengingati Allah dalam setiap tindakan.
Kita juga perlu menjaga tutur kata daripada perkara sia-sia dan maksiat. Usaha ini seharusnya diteruskan kerana lisan adalah senjata yang boleh membawa kebaikan atau kebinasaan. Berkatalah yang baik atau diam, sebagaimana pesanan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Satu cara yang berkesan untuk memastikan kita sentiasa istiqamah atau konsisten dalam melakukan ibadah ialah dengan mencari dan berkawan dengan sahabat yang soleh. Sahabat yang baik akan sentiasa mengingatkan kita tentang kewajipan agama, memberi nasihat apabila kita lalai, dan menjadi pendorong dalam melakukan amal kebaikan.
Selain itu, menghadiri majlis ilmu juga penting kerana ia dapat menambahkan pengetahuan agama, menyuburkan keimanan dan menyedarkan kita tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Majlis ilmu merupakan tempat untuk menuntut ilmu serta dapat bertemu dengan orang-orang yang mempunyai matlamat yang sama untuk memperbaiki diri ke arah kebaikan.
Kita juga harus sentiasa menetapkan niat yang sempurna dalam beribadah dengan mengingati bahawa segala ibadah yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah SWT bukan untuk menunjuk-nunjuk atau mendapat pujian manusia. Niat yang ikhlas akan menjadikan ibadah lebih bermakna dan mendorong kita untuk terus istiqamah walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan halangan. Sesungguhnya kematian itu akan datang pada bila-bila masa. Maka beribadahlah dengan sebaik yang mungkin seolah-olah hari ini adalah hari terakhir kita di dunia.
Penulis Ketua Unit Komunikasi Korporat, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
© New Straits Times Press (M) Bhd



