razis@mediaprima.com.my
Sepang: Suasana hiba menyelubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, apabila ahli keluarga dan sahabat handai saling berpelukan sejurus ketibaan kumpulan rakyat Malaysia yang dipindahkan dari zon konflik Asia Barat.
Sebaik tiba, salah seorang penumpang, Aznita Haron, 54, dilihat terus meluru ke arah suami serta anak-anaknya yang setia menunggu di balai ketibaan sebelum mereka berpelukan selepas terpisah dalam tempoh yang agak lama.
Aznita berkata, kepulangannya ke tanah air hari ini amat menggembirakan selepas hampir terkandas di luar negara berikutan penjadualan semula penerbangan.
Katanya, dia bersama beberapa rakyat Malaysia lain pada awalnya menjangkakan kemungkinan terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan sekiranya tidak dapat pulang dalam masa terdekat.
“Sepatutnya kami pulang minggu lepas, tetapi penerbangan tertangguh hampir seminggu.
“Pada mulanya kami fikir mungkin terpaksa beraya di sana, tetapi Alhamdulillah kerajaan bantu bawa kami pulang. Syukur doa saya di depan Kaabah dimakbulkan,” katanya.
Menurutnya, proses pemindahan yang diuruskan kerajaan berjalan lancar dengan pelbagai bantuan turut disediakan kepada rakyat Malaysia yang terkesan.
“Kerajaan Malaysia sangat mengambil berat keadaan kami. Jika ada yang tidak mempunyai pengangkutan atau penginapan, semuanya dibantu,” katanya.
Aznita berkata, sepanjang tempoh terkandas kira-kira seminggu itu, dia dan rakan-rakan menguruskan sendiri keperluan harian termasuk penginapan serta makanan untuk berbuka puasa.
Katanya, mereka mendaftar melalui pautan yang diberikan bagi membolehkan pihak berkuasa menyelaraskan proses membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas.
“Sebenarnya kami sudah ada tiket penerbangan, tetapi ia dijadualkan semula. Jadi kami pilih untuk ikut penerbangan yang diuruskan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar Malaysia di Syria, Muhammad Amirul Ikhwan Tan, 24, menzahirkan rasa syukur dapat pulang ke tanah air menyambut Aidilfitri bersama keluarga selepas terkandas beberapa hari berikutan pembatalan penerbangan susulan situasi konflik di Asia Barat.
“Alhamdulillah, di Syria setakat ini keadaan aman. Cumanya kami terkandas kerana penerbangan dibatalkan beberapa kali walaupun memang sudah merancang untuk pulang.
“Sepanjang proses untuk pulang ke tanah air, saya bersama seorang rakannya terpaksa menempuh perjalanan hampir 30 jam menaiki bas dari Syria ke Jeddah sebelum menaiki penerbangan yang diuruskan bagi membawa pulang rakyat Malaysia,” katanya.
Seorang lagi penumpang, Mervin Gomez, 61, yang bekerja sebagai konsultan berkata mengambil keputusan pulang lebih awal ke Malaysia susulan ketidaktentuan situasi di rantau berkenaan.
“Sepatutnya, saya dan rakan perlu ke Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan dijangka kembali ke Malaysia pada Mei ini. Bagaimanapun melihat keadaan yang tidak menentu, kami buat keputusan untuk pulang ke Malaysia.
Katanya, perjalanan dari Doha ke Jeddah menggunakan pengangkutan darat sebelum menaiki penerbangan khas Malaysia Airlines berjalan lancar.
“Dari Doha kami menaiki bas ke Jeddah dan semuanya diuruskan dengan sangat baik. Semua berjalan lancar tanpa masalah.
“Saya berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Qatar dan juga di Arab Saudi kerana membantu mengatur perjalanan kami untuk pulang ke Malaysia dengan selamat,” katanya.
Terdahulu, pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawa penumpang yang terkandas di zon konflik Asia Barat selamat mendarat di KLIA pada jam 12.32 tengah hari tadi.
Sebelum ini, pesawat Airbus 330-300 itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 8.35 malam waktu tempatan dan hanya diperuntukkan jendela masa yang singkat bagi mengambil penumpang.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Teheran terhadap kepentingan AS di negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




