Tangkapan remaja terlibat kumpulan pengganas ikut SOP

Tangkapan remaja terlibat kumpulan pengganas ikut SOP

Kuala Lumpur: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan individu termasuk remaja bawah umur dipercayai cuba menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas di negara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan mendapati golongan remaja berkenaan dikesan melayari laman sesawang berkaitan keganasan.

Beliau berkata, kumpulan pengganas itu dikesan mempunyai struktur organisasi berbilang lapisan, dengan golongan belasan tahun sering dieksploitasi serta dilatih oleh pemimpin berusia lingkungan 30-an dan 40-an melalui penyebaran doktrin secara dalam talian.

“Anak-anak ini mungkin umur 17, 18 tahun tapi yang atas dia itu, yang melatih umur 30-an, 40-an dan bukan hanya di Malaysia, ia ada di negara serantau yang lain. Jadi, ia jauh lebih kompleks daripada itu,” katanya selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Pada 6 Mac lalu, PDRM dilaporkan berjaya melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan itu menerusi penahanan enam suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun termasuk tiga remaja bawah umur.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi khas Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Feb lepas di sekitar Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.

Sementara itu, bagi mendepani sebarang kemungkinan kesan jangka panjang konflik di Asia Barat, Saifuddin Nasution berkata Jemaah Menteri telah mempertanggungjawabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan untuk merangka perancangan senario bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.

“Dalam mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri ada menyebut sekurang-kurangnya ada dua agensi kawal selia, iaitu Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan pemerhatian yang melibatkan satu pengumpulan maklumat yang tepat dan sahih dan boleh dipercayai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top