Tangkis ancaman di atmosfera

Tangkis ancaman di atmosfera

Sistem pertahanan Israel diaktifkan pada Selasa lalu untuk menangkis peluru berpandu dilancarkan Iran.

Berikut adalah butiran pertahanan udara berbilang lapisan milik Israel:

   

Arrow

Pemintas jarak jauh, Arrow-2 dan Arrow-3, dibangunkan oleh Israel dengan memikirkan ancaman peluru berpandu Iran, masing-masing direka untuk menangani ancaman di dalam dan di luar atmosfera.

Ia beroperasi pada ketinggian yang membolehkan ‘penyebaran’ selamat bagi kepala peledak bukan konvensional.

Israel Aerospace Industries milik negara adalah kontraktor utama projek itu, manakala Boeing Co terbabit dalam menghasilkan pemintas.

Pada 31 Ogos lalu, tentera Israel berkata, ia menggunakan sistem pertahanan udara Arrow buat kali pertama, sejak serangan pejuang Palestin pada 7 Oktober 2023. Ia digunakan untuk memintas peluru berpandu permukaan ke permukaan yang dilancarkan dari kawasan Laut Merah ke arah wilayahnya.

September lalu, Jerman menandatangani surat komitmen dengan Israel untuk membeli sistem Arrow-3 pada harga hampir 4 bilion euro (kira-kira RM21 bilion).

   

David’s Sling   

David’s Sling adalah sistem pertahanan jarak pertengahan direka untuk menembak jatuh peluru berpandu balistik yang dilepaskan dari jarak sejauh 100 kilometer (km) ke 200 km.

Ia dibangunkan bersama oleh Rafael Advanced Defence Systems milik negara Israel dan RTX Corp iaitu syarikat Amerika Syarikat (AS) yang dulunya dikenali sebagai Raytheon.

David’s Sling juga direka untuk memintas pesawat, dron dan peluru berpandu jelajah.

   

Iron Dome

Sistem pertahanan udara jarak dekat Iron Dome dibina untuk memintas kebanyakan roket yang dilepaskan oleh pejuang Hamas di Gaza.

Dibangunkan oleh Rafael Advanced Defense Systems dengan sokongan AS, ia mula beroperasi pada 2011.

Setiap unitnya yang ditarik trak, melancarkan peluru berpandu untuk meletupkan ancaman jarak dekat di udara seperti roket, mortar dan dron.

Iron Dome versi tentera laut untuk melindungi kapal dan aset di laut digunakan pada 2017.

   

Sistem berasaskan laser

Sistem pemintasan Israel menelan belanja antara puluhan ribu dan berjuta-juta dolar untuk menembak jatuh ancaman yang masuk.

Israel sedang membangunkan sistem berasaskan laser untuk meneutralkan roket dan dron musuh dengan anggaran kos hanya AS$2 (kira-kira RM9) untuk setiap pemintasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top