Tangkis 'kepuasan segera'!

Tangkis 'kepuasan segera'!

razis@mediaprima.com.my

Teknologi yang semakin berkembang pesat hari ini banyak mengubah corak manusia menjalani kehidupan.

Jika dahulu, banyak urusan mengambil masa agak lama untuk diselesaikan kerana perlu dilakukan secara manual, tapi kini menerusi telefon pintar, hampir segala-galanya boleh diuruskan di hujung jari dengan mudah, pantas dan efisien.

Di sebalik pelbagai manfaat yang diuar-uarkan, tindakan bergantung sepenuhnya terhadap teknologi menjadikan masyarakat cenderung mengalami ‘kepuasan segera.’

Lebih membimbangkan, keadaan ini turut menular dalam kalangan kanak-kanak yang memberi kesan jangka panjang apabila menginjak dewasa.

Perunding keibubapaan, Noor Afidah Abu Bakar berkata, kepuasan segera secara ringkasnya membawa maksud inginkan sesuatu dengan serta-merta.

Katanya, ia adalah keinginan untuk memenuhi kemahuan dengan serta-merta supaya dapat memuaskan hati dengan segera.

“Ungkapan ‘saya mahu sekarang juga’ menjadikan individu itu tidak boleh bersabar atau menunggu.

“Ada banyak faktor yang mempengaruhi kepuasan segera termasuk pembawaan atau personaliti seorang anak, persekitarannya dan cara didikan dan pengaruh ibu bapa,” katanya.

Pada zaman digital ini segala-galanya boleh didapati dengan cepat menjadikan anak-anak membesar dalam dunia yang hampir tiada ruang untuk menunggu.

Sebagai contoh, sekiranya mahukan peranti digital atau sesuatu yang menjadi trend semasa, ada ibu bapa yang sanggup menyediakannya walaupun tiada keperluan untuk anak.

Katanya, anak-anak dilihat tidak perlu lagi menabung untuk masa yang lama bagi membelinya.

“Makanan yang diingini boleh dinikmati dalam masa 30 minit sahaja kerana dihantar dengan cepat. Lambakan makanan proses dan makanan segera juga mengurangkan masa menunggu untuk makan kerana disediakan serta dimasak terlebih dahulu.

“Selain itu, hiburan boleh dicapai dengan hanya satu sentuhan. Bagi mereka, video berdurasi 15 saat sudah cukup untuk menghiburkan,” katanya.

Pada masa sama, carian maklumat juga boleh dilakukan dengan segera melalui enjin carian di internet tanpa perlu lagi meluangkan masa ke perpustakaan atau membaca buku.

Jelasnya, kepuasan segera anak boleh berpunca daripada ibu bapa itu sendiri bagi mengelak konflik.

“Kadangkala ibu bapa terlalu cepat memenuhi kemahuan anak kerana tidak mahu anak menangis atau meragam.

“Untuk mengelakkan konfrontasi dengan anak dan bagi menjimatkan masa, kemahuan anak dipenuhi tanpa memikirkan kesannya terhadap perkembangan serta karakter anak,” katanya.

Akibatnya, beliau melihat kepuasan segera menjadikan anak kurang sabar, tidak berupaya untuk menunggu dan sentiasa ingin dilayan serta dihiburkan dengan segera.

“Anak juga mudah kecewa sekiranya sesuatu hajat itu tidak dipenuhi kerana bagi anak dunia ini berputar di sekeliling mereka sahaja. Anak tidak mampu berfikir lebih dari kemahuan diri sendiri.

“Kepuasan segera juga mempengaruhi sifat resilien anak dan menyukarkan anak untuk fokus kepada sesuatu tugasan. Ini kerana fokus memerlukan kesabaran dan ketahanan mental serta emosi,” katanya.

Bagi mencegah daripada kepuasan segera menjadi norma dalam masyarakat, ibu bapa perlu menjadi model dan pengaruh baik untuk anak-anak.

Tambahnya, daripada awal anak perlu dilatih berusaha dengan tekun dan sabar untuk mendapat ganjaran.

“Pada zaman semuanya pantas, sabar adalah satu skil. Anak perlu didedahkan kepada peluang dan ruang untuk menunggu sebagai satu latihan buat mereka.

“Ajar anak sabar menunggu giliran. Itu adalah kemahiran dan latihan asas bagi membina karakter serta menangkis kepuasan segera,” katanya.

Selain itu, anak juga tidak boleh diberi terlalu banyak pilihan kerana ia akan mengelirukan mereka dan menyebabkan mereka sentiasa berharap supaya pilihan serta kemahuan mereka dituruti dengan segera.

“Anak perlu dibiarkan ‘bosan’ yang dapat menggalakkan mereka untuk menjadi kreatif mengisi masa terluang. Bosan dapat melatih anak untuk bersabar.

“Melengkapkan anak dengan kemahiran penyelesaian masalah dan berfikir dapat memberikan kesan jangka panjang suatu hari nanti,” katanya.

Noor Afidah berkata, dengan mendidik anak mengenai kepuasan tertangguh dapat membantu mereka untuk membuat keputusan dan pilihan yang lebih baik.

“Ia menggalakkan anak untuk berfikir dan mempertimbangkan segala kemungkinan sebelum bertindak atau melakukan sesuatu.”Anak yang mempunyai kepuasan tertangguh ini lebih tinggi kawalan diri dan tidak mudah terpengaruh atau terjebak dengan perkara tidak berfaedah,” katanya.

Katanya, kepuasan segera mungkin menggembirakan untuk seketika, namun ia bukan asas kukuh untuk pembinaan peribadi baik anak-anak mahupun orang dewasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top