Tangkis propaganda negatif terhadap industri kelapa sawit

Tangkis propaganda negatif terhadap industri kelapa sawit

am@hmetro.com.my

Kluang: Kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam sektor tenaga boleh diperbaharui mampu menangkis propaganda negatif terhadap industri kelapa sawit dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia boleh memainkan peranan penting dengan berkongsi kejayaan teknologi penghasilan gas hijau menerusi Stesen Suntikan Biometana Berpusat, di Johor.

“Teknologi ini sangat penting, jadi kalau orang datang tengok dia akan kagum. Saya yakin jiran kita (Indonesia) ada 50 juta pengeluaran.

“Kalau kita boleh jalinkan pertalian antara dua negara ini dan kita kongsi teknologi apa yang kita buat ini, mereka sudah pasti jadi seperti kita.

“Apabila mereka menjadi seperti kita, seluruh ekosistem akan lestari. Tidak ada orang boleh serang kelapa sawit,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Stesen Suntikan Biometana Berpusat di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Gas Malaysia Berhad Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Menerusi teknologi diterajui Gas Malaysia itu, sisa kelapa sawit termasuk cecair buangan dari kilang minyak sawit dan tandan kosong akan diproses untuk menghasilkan biogas.

Biogas itu kemudian ditulenkan menjadi biometana tulen dan kemudian dihantar ke stesen berkenaan sebelum disuntik ke dalam sistem paip gas asli untuk kegunaan industri.

Teknologi ini membolehkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, menjana tenaga bersih dan menyokong ekonomi kitaran serta pembangunan lestari alam sekitar.

Dalam pada itu, Johari berkata, usaha dijalankan kementerian itu selaras dengan hasrat negara mengurangkan pelepasan gas metana sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top