Tanglung Peranakan terbesar dunia di Jonker Walk sasar tarik 1 juta pelancong

Tanglung Peranakan terbesar dunia di Jonker Walk sasar tarik 1 juta pelancong

MELAKA – Sambutan Tahun Baharu Cina di kawasan pelancongan tradisi masyarakat Cina, Jonker Walk di sini tahun ini menjadi lebih bermakna apabila mempamerkan Tanglung Peranakan terbesar di dunia sehingga tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street Datuk Gan Tian Loo berkata, tanglung gergasi bersaiz 4.8 meter tinggi dan 2.4 meter ukur lilit itu dijangka mampu menarik kunjungan satu juta pelancong ke Jonker Walk dalam tempoh 15 hari selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, sepasang Tanglung Peranakan bernilai RM100,000 mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan dan akan terus dipamerkan di hadapan bangunan pejabat Jonker Walk sehingga tahun hadapan.

“Sebagai antara destinasi pelancongan terkenal di Melaka, kita telah memasang lebih 800 tanglung merah tradisi masyarakat Cina termasuk mencipta sepasang Tanglung Peranakan terbesar di Malaysia bahkan di dunia.

“Ia juga telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing minggu lalu.

“Seperti diketahui, kaum Baba Nyonya adalah etnik penting di Melaka jadi melalui promosi Tanglung Peranakan ini, perayaan Tahun Baharu CIna tahun ini menjadi lebih bermakna untuk menarik satu juga pengunjung selama 15 hari,” katanya.

Gan Tian Loo menunjukkan keunikan Tanglung Peranakan yang dijangka mampu menarik kunjungan satu juta pelancong ke Jonker Walk dalam tempoh 15 hari selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Ambang Tahun Baharu Cina di Jonker Walk di sini malam tadi.

Menyentuh mengenai keunikan Tanglung Peranakan itu, Tian Loo berkata, ia berbeza dengan tanglung merah tradisi masyarakat Cina yang sering digunakan pada musim perayaan.

“Uniknya Tanglung Peranakan ini artis yang menghasilkannya menerapkan sejarah dan simbolik yang membawa tuah.

“Ia menceritakan sejarah Kapal Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka pada kurun ke-14 sehinggalah bagaimana upacara Wangkang masuk mula di Melaka dan diiktiraf sebagai warisan dunia pada 2020,” katanya.

Untuk rekod, Wangkang diiktiraf sebagai kebudayaan tidak ketara negara dalam kategori Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan tiga tahun lalu.

Mengulas lanjut, Tian Loo berkata, lebih 300 peniaga dan penjaja di pasar malam pelancongan Jonker Walk yang sudah memasuki tahun ke 33 penganjuran bersedia menyambut satu juta pelancong yang disasarkan selama tempoh 15 hari itu.

“Dalam tempoh 15 hari bermula esok (hari ini) sehingga perayaan Chap Goh Mei kita akan menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan untuk mencapai sasaran satu juta pengunjung,” katanya. – MalaysiaGazette.