Tanpa penyerang tulen, Turkiye tetap berbisa

Tanpa penyerang tulen, Turkiye tetap berbisa

Ankara: Turkiye membuktikan mereka tidak memerlukan penyerang tulen untuk kembali ke pentas Piala Dunia selepas menamatkan penantian 24 tahun.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kosovo dalam aksi playoff sudah cukup untuk menghadiahkan tiket berharga itu, sekali gus mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan penyokong.

Menariknya, skuad Turkiye kali ini tidak bergantung kepada penyerang klasik seperti era Hakan Sukur, sebaliknya mengamalkan pendekatan lebih fleksibel dengan barisan tengah yang agresif.

Kapten pasukan, Hakan Calhanoglu memainkan peranan penting menggerakkan jentera serangan, dibantu bakat muda Arda Guler yang semakin menyerlah.

Bekas penyerang legenda Turkiye, Sukur turut melihat pendekatan itu sebagai kekuatan tersendiri pasukan.

Menurutnya, walaupun tanpa target man sebenar, Turkiye memiliki kepelbagaian corak permainan yang mampu mengelirukan lawan.

Turkiye kini bakal berdepan cabaran berbeza di pentas dunia apabila diundi bersama Australia, Amerika Syarikat dan Paraguay dalam peringkat kumpulan.

Calhanoglu mengakui cabaran lebih besar menanti, namun yakin pendekatan semasa mampu memberi kelebihan.

“Kami percaya dengan cara permainan kami. Sasaran pertama adalah untuk melepasi peringkat kumpulan,” katanya.

Selepas sekian lama menyepi, Turkiye kini kembali dengan identiti baharu, bukan lagi bergantung kepada seorang penjaring utama, tetapi kekuatan kolektif seluruh pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top