Tanpa skuad utama, Negeri Sembilan tetap kuasai Lompat Tali Terbuka Borneo

Tanpa skuad utama, Negeri Sembilan tetap kuasai Lompat Tali Terbuka Borneo

sukan@hmetro.com.my

Port Dickson: Negeri Sembilan muncul Johan Keseluruhan dalam Pertandingan Lompat Tali Terbuka Borneo yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah berakhir minggu lalu.

Lebih membanggakan, Negeri Sembilan tidak membawa pasukan utamanya bagi mengibar cabaran kejohanan di Sabah atas faktor perbelanjaan yang terhad kerana peserta sendiri terpaksa menampung sedikit perbelanjaan bagi menghadapi kejohanan itu.

Pengurus Pasukan Negeri Sembilan, Nor Azleena Mohd Zin berkata, Negeri Sembilan diwakili Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sawah yang sudah berpengalaman dalam sukan ini sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, pertandingan diadakan pada 26 dan 27 Oktober lalu ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, Sabah dan Negeri Sembilan hanya mampu membawa tujuh peserta berbanding 30 orang kebiasaannya atas faktor kekurangan dana.

“Apa yang membanggakan ialah kami tidak dapat membawa ramai peserta yang berpotensi ke pertandingan ini kerana kekangan kewangan namun berjaya membawa pulang 3 Emas, 1 Perak dan 1 Gangsa.

“Ia adalah pencapaian yang boleh dibanggakan dengan kerjasama berpasukan walaupun pasukan Negeri Sembilan agak ‘tempang’ tanpa penyertaan beberapa peserta yang tidak dapat ikut serta atas faktor kewangan yang terhad,” katanya.

Katanya, Pertandingan Lompat Tali Terbuka Borneo ini diadakan sempena Ekspo Industri Sukan Sabah yang turut disertai beberapa negeri selain Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah selaku tuan rumah.

“Tiga emas itu dimenangi melalui acara Lompat Tali Berirama kategori junior, Lompat Tali Prestasi Tinggi dan kategori perempuan Jogging Step bawah 12 tahun, manakala pingat Perak melalui kategori lelaki Jogging Step bawah 10 tahun dan Gangsa melalui kategori Perempuan Jogging Step bawah 10 tahun.

“Semua tujuh peserta yang menyertai pertandingan kali ini adalah, Muhammad Qayyyum Hamka Mohd Izuan, Adli Ramdan Nor Azlee Syam, Aisy Firas Mohd Fauzi, Zaim Lutfi Mohd Faizal, Noor Sumayyah Izwan, Intan Zulaikha Mohd Suzaili dan Nur Aleera Nafisya Mohd Hapian,” ujarnya.

Nor Azleena berkata, pertandingan itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Dr Nagulendran Kangayatkarasu. Turut hadir, Pembantu Menteri Belia Dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan.

“Untuk pencapaian ini (3 emas, 1 Perak dan 1 Gangsa), kami puas hati namun ia boleh diperbaiki jika pasukan dapat penyertaan penuh pasukan namun kami cuba buat yang terbaik kerana Negeri Sembilan sudah dikenali sebagai pasukan pilihan.

“Terima kasih kepada pihak-pihak yang memberi sumbangan seperti Pejabat Parlimen Port Dickson, TNB Bahagian Penyelenggaraan, sumbangan individu serta ibu bapa pelajar dan keluarga peserta sendiri,” katanya.

Menurutnya, pasukan ini sudah menyertai pelbagai pertandingan dan sering mencapai kejayaan termasuk beberapa pertandingan sepanjang tahun ini (2024).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top