Tanpa Ultras Malaya, Malaysia juara Pestabola Merdeka

Tanpa Ultras Malaya, Malaysia juara Pestabola Merdeka

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penantian 11 tahun skuad Harimau Malaya untuk menjulang Piala Pestabola Merdeka berakhir selepas merekodkan kemenangan 1-0 menentang Lubnan pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.

Lebih manis lagi pengendali Harimau Malaya Pau Marti Vicente berjaya mencipta sejarah tersendiri dengan hanya memerlukan dua perlawanan saja bagi membuktikan kewibawaannya untuk menjulang piala.

Pau Marti yang baru saja mengambil alih tugas daripada Kim Pan-gon dua bulan lalu melakukan kejutan apabila merehatkan Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid daripada membarisi kesebelasan utama.

Peluang Malaysia untuk berada di depan hadir pada minit ke 20 menerusi Syafiq Ahmad namun sepakan akrobatiknya berjaya dihalang pertahanan lawan.

Gol yang dinantikan lebih 10,000 penyokong Harimau Malaya hadir pada minit 33 menerusi Romel Morales yang mudah merembat masuk untuk kedudukan 1-0.

Lubnan yang dipimpin Miodrag Radulovic pula berpeluang menyamai kedudukan pada lewat separuh masa pertama menerusi penyerang mereka Gabriel Bitar namun sepakannya sedikit tersasar sekali gus melegakan penjaga gol Malaysia Syihan Hazmi.

Memasuki babak kedua menyaksikan skuad Harimau Malaya terus ‘bertenaga’ dengan memasukkan Arif Aiman dan Akhyar bagi memberi nafas baru di bahagian jentera serangan.

Ternyata percaturan terbabit berkesan apabila gerakan berbahaya Arif Aiman pada minit 52 hampir saja menyumbangkan gol kedua namun rembatannya kurang padu sekali gus berjaya dinafikan penjaga gol lawan.

Selang empat minit kemudian, peluang terhidang pula buat Akhyar untuk menyumbat gol namun sepakannya mudah dibaca pihak lawan sekali gus menyelamatkan gawang Lubnan daripada terus dibolosi.

Pasukan pelawat yang melakukan dua tukaran pemain sekali lagi berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi Omar Chabaan namun rembatannya sedikit tersasar daripada gol.

Ketika perlawanan berbaki 12 minit, pasukan Lubnan terus terluka selepas pertahanan mereka Khalil Khamis dibuang padang kerana menerima kad kuning berpunca tindakan mengasari pemain lawan.

Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya akhirnya menoktahkan penantian 11 tahun untuk bergelar juara Pestabola Merdeka 2024.

Berdasarkan rekod, pada penganjuran edisi terdahulu menyaksikan skuad Harimau Malaya mengakhiri saingan Pestabola Merdeka sebagai naib juara selepas tewas kepada Tajikistan 0-2.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Pestabola Merdeka adalah pada 2013 menerusi skuad bawah 23 tahun (B-23) yang menumpaskan Myanmar 2-0 di pentas final.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top