nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Perbadanan Stadium Kelantan menjelaskan kos sewa tapak bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV yang dikatakan meningkat sehingga tular itu diuruskan dan ditentukan oleh pihak swasta.
Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Kelantan Zamakhshari Muhamad, bagaimanapun berkata, walaupun harga tapak meningkat berbanding sebelum ini, namun saiz bagi tapak untuk Ramadan kali ini jauh lebih besar selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan.
“Saya akui tular di media sosial mengenai harga tapak bazar Ramadan di perkarangan parkir Stadium Sultan Muhammad IV iaitu dari RM500 kepada RM1,350.
“Untuk makluman semua sebelum ini bazar Ramadan berkenaan diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) namun pada 22 Januari lalu kita terima notis daripada FAMA berhubung pembatalan menguruskan Bazar Ramadan Tani di lokasi berkenaan tahun ini.
“Susulan itu, pihak Perbadanan Stadium menerima notis daripada sebuah syarikat swasta iaitu Tun Event Management yang mahu menguruskan tapak berkenaan dan kita bersetuju untuk perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apam Putra berkata, berdasarkan maklumat daripada penganjur, jika sebelum ini terdapat 255 tapak yang disediakan di bawah FAMA dengan keluasan hanya 18 kaki persegi.
“Namun dibawa syarikat yang baru, tapak disediakan hanya 160 dengan keluasan yang jauh lebih luas iaitu 100 kaki persegi.
“Malah pihak penganjur turut memaklumkan menyediakan pelbagai kemudahan lain bagi menarik kehadiran orang ramai termasuk pertandingan gerai paling cantik.
“Apa yang saya maju jelaskan berkaitan isu harga tapak bazar Ramadan, kita hanya menyediakan tapak dan yang menguruskan adalah syarikat swasta berkenaan. Berapa sewa yang dikenakan adalah bergantung kepada syarikat berkenaan.
“Malah saya difahamkan, daripada 160 tapak berkenaan, 157 sudah ditempah penyewa dan rata-rata harga tapak bazar Ramadan di Kelantan sekitar Kota Bharu adalah RM1,200 hingga RM1,500,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial berhubung keluhan peniaga yang mengatakan harga tapak bazar Ramadan meningkat daripada RM500 kepada RM1,350.
© New Straits Times Press (M) Bhd