am@hmetro.com.my
Seremban: Sebuah tapak projek pembinaan dekat Bukit Kepayang di sini, dikesan menggajikan lebih 100 warga asing tanpa permit kerja dan pengenalan diri yang sah.
Dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan pada 10.45 pagi semalam, terdapat warga asing yang bertindak terjun dari ketinggian enam meter (m) semata-mata mahu meloloskan diri.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, pihaknya berjaya menahan seramai 102 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam operasi itu.
“Operasi ini dijalankan dengan kekuatan seramai 66 anggota penguatkuasaan JIM Negeri Sembilan bersama tiga anggota daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Dalam operasi ini seramai 130 warga asing diperiksa dan hasilnya seramai 102 orang Pati yang berumur antara 13 hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang Imigresen,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi itu, 93 lelaki dan sembilan wanita ditahan membabitkan 55 warga Indonesia, seorang lelaki Pakistan, 29 lelaki dari Bangladesh serta 16 lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar.
Katanya, ketika operasi, terdapat Pati yang sanggup terjun dari platfrom setinggi enam m dan ada juga yang bersembunyi di celah barang binaan untuk meloloskan diri daripada dicekup
“Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya dikesan dan ditahan,” katanya.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan aduan awam berhubung Pati yang disyaki tiada pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada pas dan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa, dan kesalahan lain-lain mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd