PUTRAJAYA: Seekor tapir Malaya yang cedera diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Pahang.
Menurut kenyataan agensi tersebut di sini, tapir jantan seberat 200 kilogram itu cedera pada kaki ketika ditemukan di Felda Chemomoi, Wilayah Mempaga, Triang dalam Daerah Bentong.
“Operasi menyelamat kemudian segera dijalankan oleh pihak Perhilitan Daerah Temerloh dengan mendapat bantuan daripada Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan,” katanya.
Usaha tersebut ujarnya, dilaksanakan susulan maklumat diterima daripada orang awam mengenai mamalia berkenaan.
Proses rawatan awal ke atas haiwan liar tersebut telah pun diberikan oleh penolong pegawai veterinar Perhilitan sebelum dipindahkan pula ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan.
Haiwan tersebut antara lima spesies utama tapir terbesar di dunia dan merupakan jenis mamalia yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716, malah termasuk kategori terancam oleh Kesatuan Konservasi Semula Jadi Antarabangsa berpusat di Britain dan dalam senarai merah haiwan di Semenanjung pada 2017 lalu.
Dianggarkan hanya ada kurang 2,000 ekor Tapir Malaya ketika ini dan Perhilitan mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Konservasi di Sungai Dusun, Hulu Selangor, Selangor pada 2014. – UTUSAN




