Tarah hutan hujung minggu

bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) mengesan lapan hektar tanah ditarah oleh penceroboh di kompartmen 3, Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, untuk ditanam dengan kelapa sawit.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang semalam, JPNK percaya perbuatan itu dilakukan penduduk Jeneri sejak tiga bulan lalu.

Pengarahnya, Muhamad Abdullah, berkata tiga lelaki berusia 30-an dilihat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa dalam serbuan itu.

“Pelbagai pokok balak antaranya meranti, tembaga, kelat, medang dan jelutong ditebang. Beberapa batang kayu yang diproses daripada pokok balak ditebang turut ditemui di kawasan hutan berkenaan.

“Selain itu, sebanyak 320 pokok kelapa sawit yang baru ditanam turut dikesan di hutan berkenaan. Siasatan awal mendapati semua lelaki terbabit melakukan kegiatan itu pada hujung minggu dan hari cuti umum,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhamad berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan simpanan kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran.

Katanya, jika sabit kesalahan seksyen berkenaan masing-masing memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sebagai tindakan awal, pasukan bertugas sudah mengambil tindakan memusnahkan pokok kelapa sawit yang ditanam.

“Laporan polis turut dibuat berkaitan tindakan memusnahkan tanaman berkenaan,” katanya.

Muhamad berkata, pihaknya merancang untuk menanam semula pokok hutan yang dimusnahkan di kawasan hutan itu menerusi program restorasi hutan.

© New Straits Times Press (M) Bhd