PEKANBARU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Riau, Indonesia mencuri perhatian dunia selepas aksinya menari di atas perahu laju dalam perlumbaan perahu tradisional Pacu Jalur menjadi tular di media sosial.
Kanak-kanak tersebut, Rayyan Arkan Dikha tampil bergaya dengan pakaian tradisional hitam lengkap bersama cermin mata gelap ketika berdiri di hujung perahu yang sedang meluncur laju di Sungai Kuantan.
Gaya tariannya yang santai tetapi penuh karisma dikenali sebagai gerakan ‘aura farming’ memikat jutaan penonton di platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube.
Video tersebut bukan sahaja menghiburkan, malah mencetuskan fenomena global apabila beberapa atlet, artis dan selebriti antarabangsa meniru gerakan Rayyan, termasuk pemain bola sepak kelab Paris Saint-Germain (PSG), pemandu Formula Satu Alex Albon dan bintang NFL, Travis Kelce.

Rayyan dengan pakaian tradisional dan cermin mata memberikan ekspresi tenang dan penuh karisma sebagai ‘tukang tari’ di hujung perahu.
Rayyan merupakan penari yang berperanan menguatkan semangat pendayung dalam acara Pacu Jalur sebuah tradisi masyarakat Kuantan Singingi yang diadakan setiap bulan Ogos bersempena Hari Kemerdekaan Indonesia.
Menurut keluarganya, Rayyan telah mula mengikuti acara ini sejak kecil dan sering mengasah bakat menari di hadapan keluarga serta penduduk kampung.
“Apa yang dilakukan Rayyan adalah sebahagian daripada tradisi. Cuma kali ini gayanya unik dan berani sehingga mendapat perhatian luar biasa,” kata salah seorang ahli keluarganya kepada media tempatan.
Fenomena ini turut mendapat perhatian Pemerintah Provinsi Riau yang menganugerahkan Rayyan gelaran Duta Pariwisata Riau sebagai penghargaan kerana berjaya mempromosikan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa.
Rayyan juga menerima biasiswa pendidikan hasil sumbangan pihak kerajaan dan penaja swasta sebagai dorongan untuk terus bersekolah dan mengembangkan bakatnya.
“Dia membawa nama Riau ke mata dunia. Gerakannya sederhana tetapi penuh keyakinan. Itulah yang membuat orang terpikat,” kata Gabenor Riau, Syamsuar, ketika majlis penghargaan tersebut.
Pacu Jalur adalah perlumbaan perahu panjang yang boleh memuatkan hingga 60 pendayung dan memerlukan kekuatan fizikal serta koordinasi yang tinggi.
Peranan ‘tukang tari’ seperti Rayyan amat penting bagi menaikkan moral pasukan dan menambah tarikan visual kepada penonton.
Di media sosial, tanda pagar #AuraFarming dan #RayyanArkan menjadi trending, dengan ribuan video cabaran tarian dimuat naik oleh pengguna dari pelbagai negara.
Bagi Rayyan, pengalaman ini adalah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, namun dia berhasrat untuk terus bersekolah dan membantu mempromosikan budaya tradisional Riau.
“Aura farming bukan sekadar tarian, ia semangat dan identiti kami,” kata Rayyan kepada pemberita.
Pihak penganjur Pacu Jalur berharap populariti Rayyan akan meningkatkan minat pelancong terhadap acara tersebut dan menjadikannya tarikan tahunan bertaraf antarabangsa.- Riau Pos