Tarif AS tidak jejas hubungan dengan ASEAN

Tarif AS tidak jejas hubungan dengan ASEAN

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio berpendapat bahawa tarif yang dikenakan Presiden Donald Trump tidak akan menjejaskan hubungan negara itu dengan ASEAN.

Rubio berkata, tarif yang dikenakan oleh Trump adalah bersifat global dan tidak ditujukan kepada mana-mana negara secara khusus.

Katanya, tarif itu terpakai kepada hampir semua negara di dunia kerana defisit dagangan yang dijalankan oleh AS dengan kebanyakan negara adalah tidak mampan.

“Selama 20 atau 30 tahun, Amerika Syarikat (AS) membina defisit dagangan yang besar dengan banyak negara di seluruh dunia, di setiap rantau di Eropah, Kanada, Mexico dan juga di rantau ini.

“Oleh itu perkara terbabit perlu ditangani. Maka, itulah yang sedang dilakukan oleh Presiden,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa Menteri Luar ASEAN dan China, di sini, hari ini.

Rubio turut menjelaskan bahawa tarif yang diumumkan itu akan berkuat kuasa pada 1 Ogos kerana pasaran memerlukan kepastian.

“Namun sentiasa ada kemungkinan bahawa sebelum 1 Ogos, atau pada bila-bila masa selepas tarikh berkenaan, kita akan mencapai persetujuan dengan negara-negara tertentu yang boleh mengubah angka-angka terbabit secara positif.

“Namun, ini memerlukan masa untuk dirundingkan, jadi ia mungkin berlaku,” katanya.

Menjawab sama ada terdapat isu penting lain yang dibincangkan dengan anggota ASEAN selain tarif, Rubio menjawab: “Ada.”

Rubio berkata, isu keselamatan siber adalah salah satu perkara yang disentuh dan dibincangkan.

Katanya, dua pertiga pertumbuhan ekonomi global akan berlaku di Asia, terutamanya Asia Tenggara dalam tempoh 25 atau 30 tahun akan datang dan sebahagian besar daripadanya berada di atas platform digital.

“Jika anda fikir tentang ekonomi digital kritikal kepada pertumbuhan global, kebanyakan pertumbuhan ekonomi dunia akan berlaku di sini.

“Platform berkenaan perlu selamat. Ia mesti selamat daripada penjenayah siber. Ia mesti selamat daripada aktor negara yang mungkin cuba untuk melemahkannya,” katanya.

Rubio berkata, dalam perbincangan berkenaan, semua pihak bersemangat untuk bekerjasama dalam perkara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top