Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara tiba-tiba menangguhkan tarif untuk kebanyakan negara pada Rabu, tetapi meningkatkan perang perdagangan dengan China.
Selepas beberapa hari kegawatan pasaran, saham Wall Street menyaksikan lonjakan bersejarah sebagai reaksi terhadap pengumuman Trump bahawa beliau menangguhkan kenaikan levi untuk hampir semua negara selama 90 hari.
Tetapi Trump berkata, beliau menaikkan tarif ke atas China kepada 125 peratus kerana “kurang rasa hormat.”
Trump menafikan bahawa beliau ‘berundur’ daripada tarif, memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa “anda perlu fleksibel.”
Beliau memerhatikan keadaan “sangat rumit” di pasaran bon AS yang penting sebelum keputusannya.
Trump bagaimanapun meramalkan bahawa perjanjian perdagangan akan dibuat dengan semua negara, termasuk China.
“Perjanjian akan dibuat dengan China. Perjanjian akan dibuat dengan setiap satu daripada mereka,” kata Trump, sambil menambah bahawa pemimpin China “tidak tahu bagaimana untuk melakukannya.”
Trump menegaskan bahawa beliau “tidak dapat membayangkan” meningkatkan tarif China lebih daripada yang sedia ada.
Pasaran saham kehilangan nilai bertrilion dolar sejak pengumuman Trump mengenai tarif global, seminggu lalu, apa yang dipanggilnya sebagai “Hari Pembebasan.”
Trump mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas semua negara berkuat kuasa Sabtu lalu, dan kadar yang lebih tinggi ke atas rakan dagangan utama seperti China dan Kesatuan Eropah (EU) yang dituduhnya menipu AS, yang diaktifkan pada Rabu.
Tetapi apabila pasaran merudum sekali lagi, Trump dalam satu pengumuman mengejut di rangkaian Truth Social berkata, “Saya membenarkan jeda 90 hari” pada tarif yang lebih tinggi, manakala garis dasar 10 peratus akan kekal.
Beliau berkata, keputusan itu selepas lebih 75 negara menghubungi untuk berunding dan tidak bertindak balas.
Pada masa yang sama, Trump meningkatkan konfrontasinya dengan China.
Beijing menaikkan tarif ke atas import AS kepada 84 peratus pada awal Rabu – sebagai tindakan balas terhadap Trump sendiri yang menaikkan duti ke atas barangan China kepada 104 peratus.
EU sebelum ini melancarkan serangan balasnya sendiri, mengumumkan langkah menyasarkan beberapa produk AS mulai Selasa sebagai tindakan balas terhadap duti AS ke atas eksport keluli dan aluminium global.
© New Straits Times Press (M) Bhd